BATU GAJAH- Sebuah rumah kedai dua tingkat di Persiaran Perdana 1, Taman Batu Gajah Perdana di sini terbakar dalam kejadian awal pagi tadi.

Menurut jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Perak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 2.50 pagi. 

Katanya, sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Gajah telah dikerah ke lokasi kejadian bagi memadamkan api.

"Kebakaran melibatkan sebuah kedai dua tingkat berkeluasan 20x70 musnah 40 peratus.

"Api memusnahkan bahagian bawah kedai dan tiada mangsa yang terlibat," ujar jurucakap itu.

Anggota bomba menggunakan satu aliran air bersumberkan air jentera sehingga kebakaran tersebut berjaya dipadamkan.

Operasi yang diketuai PPgB Mohd. Norshah Shahri itu tamat sepenuhnya pada pukul 3.47 pagi.