IPOH – Sesi persekolahan secara bersemuka di negeri Perak bermula hari ini melibatkan pelajar Tahun 1, 2, 3, 4 dan 5 mengikut ketetapan pengoperasian Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Ia melibatkan sebanyak 852 buah sekolah rendah dengan kira-kira 100,816 murid.

Mengikut ketetapan tersebut, sesi persekolahan dilakukan secara penggiliran mengikut dua kumpulan iaitu A dan B di mana kumpulan B akan bersekolah minggu hadapan.

Sementara itu, pembukaan semula sesi persekolahan secara bersemuka pada hari ini turut melibatkan penugasan kira-kira 1,000 pegawai dan anggota polis yang ditempatkan di 1,102 buah sekolah di seluruh negeri ini.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti negeri Perak, Senior Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor pagi tadi telah turun padang meninjau pematuhan SOP yang dilaksanakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Cator Avenue di sini.

Katanya kepada media, tugas pemantauan tersebut melibatkan semua elemen-elemen PDRM termasuk anggota unit kereta peronda dan unit rondaan bermotosikal yang akan ditugaskan secara harian.

Jelas beliau, pemantauan tersebut akan tertumpu pada pematuhan SOP semasa menghantar dan mengambil murid-murid bagi mengelak ibu bapa bersesak di pekarangan sekolah.

Selain Perak, pengoperasian institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan mengikut ketetapan pengoperasian Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 22 November melibatkan Perlis, Pulau Pinang, Sabah dan Kedah.


Di Kedah, pengoperasian itu telah pun bermula semalam.