IPOH – Sesi lawatan telah diadakan ke tapak cadangan pembagunan Kompleks Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di Meru Raya oleh Setiausaha Bahagian, Bahagian Pembagunan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Zaiton Yahya baru-baru ini.

Tujuan lawatan diadakan bagi membincangkan dan mengenal pasti jumlah keluasan tanah yang akan digunakan untuk pembangunan tersebut.

Hadir dalam lawatan tersebut ialah Ketua Polis Perak, Dato’ Pahlawan Mior Faridalathrash Wahid; Timbalan Ketua Polis Perak, Dato’ Pahlawan Azizi Mat Aris dan Timbalan Pengarah (Fasiliti/Bekalan/Aset) Jabatan Logistik dan Teknologi PDRM, Senior Asisten Komisioner Azizee Ismail.

Turut diadakan adalah kunjungan hormat ke IPK Perak.

PDRM pada tahun 2014 telah merancang pembinaan sebuah Kompleks IPK Perak dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) baharu yang akan dibina bagi menggantikan bangunan lama di Jalan Sultan Iskandar.

Ketika itu, Pengarah Pengurusan PDRM, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun berkata, tapak bagi membina bangunan terbabit telah dikenalpasti dan pembinaan akan dibina dalam tempoh terdekat.

Menurutnya, kawasan Ipoh yang mempunyai 24 balai polis akan dibahagikan kepada dua Ibu Pejabat Polis (IPD) iaitu Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh Timur dan Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh Barat.

“Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah melawat tapak kawasan yang telah dikenalpasti untuk membina bangunan IPK di Meru Raya,” ujarnya.