IPOH – Seramai 278 pelajar anak Orang Asli menerima bantuan persekolahan daripada Yayasan Pelajaran Mara (YPM) bagi membolehkan mereka membuat persediaan bagi memulakan sesi pembelajaran.

Sumbangan berkenaan disampaikan pada Program Mara Prihatin Bersama Komuniti Orang Asli di Surau Pos Kuala Mu, Sungai Siput baru-baru ini.

Seksyen Komunikasi Korporat YPM memberitahu, program berkenaan melibatkan agensi- agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar seperti Mara negeri Perak, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) negeri Perak/Kedah dan GiatMara Negeri Perak.

Menurut kenyataan tersebut, sumbangan telah disampaikan oleh Pengerusi Eksekutif YPM, Datuk Dr. Mohd Nizar Sudin.

“Program ini juga menyaksikan penyerahan beberapa bentuk bantuan daripada YPM  kepada komuniti Orang Asli iaitu sumbangan kepada dua buah keluarga mangsa kebakaran.

“Turut diberi ialah sumbangan RM1,000 kepada Surau Pos Kuala Mu untuk pembangunan pendidikan setempat serta pemberian naskhah al-Quran dan buku terbitan Yayasan Dakwan Islamiah Malaysia,” ujar kenyataan tersebut.

Hadir sama pada majlis itu, Pengarah Mara Perak, Lailatul Asmah Mohd. Tahir dan Pengarah GiatMara Perak, Zainal Rashid Zakaria.