IPOH - "Teman nak pesan lah sikit jangan ingker beno kepada samseng jalanan tegar ni supaya mikir panjang sebelum nak membuat akai di bumi negeri Perak tercinta.

"Ini kerana Skuad 42 JSPT IPK Perak sentiasa ada untuk kome aje mengawasi dan hambat kome sehingga ke lubang cacing sekalipun untuk perangi aktiviti samseng jalanan habis-habisan.

"Ada eloknya kalau pihak polis yang ngangkut kome ke balai polis dari bior ambulans yang ngambik kome ngangkut ke hospital. Perkara ni tak akan selesai selagi kome semua tak jaga sesama kome,"

Itu pesanan yang dititipkan Skuad 42 Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak (JSPT IPK) kepada pihak-pihak yang tegar untuk berlumba motosikal haram.

Pesanan itu dipaparkan pada laman Facebook rasmi pasukan itu berikutan kejayaan mematahkan kegiatan lumba motosikal haram melibatkan dua buah kumpulan baru-baru ini.

Ia susulan tindakan memuat naik video perlumbaan motosikal haram dalam laman media sosial di Lebuh Raya Persisir Pantai Barat (WCE) dekat susur keluar Setiawan di Manjung.

"Satu pelumbaan haram motosikal tular dalam rakaman video yang dimuat naik di laman story Instagram pemilik akaun 'shafarul.arysad @cu.ebundle' sejak 16 November 2021 lalu.

"Video menunjukkan dua buah motosikal dalam keadaan menduga kelajuan sambil aksi 'superman' dengan wang pertaruhan bernilai RM 15,000," ujar kenyataan tersebut.

Siasatan polis mendapati perlumbaan melibatkan kumpulan Am ulala dan Kecik Super.

Polis kemudian mengesan kedua-dua kumpulan tersebut dan telah berjaya menahan tiga lelaki yang berumur lingkungan 22 hingga 24 tahun

Dua daripada yang ditahan adalah mekanik manakala seorang bekerja sebagai juruteknik alat dingin hawa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 6 (1) Akta Pertaruhan 1953.