IPOH – Bermula esok, operasi kutipan sampah domestik di bandar ini akan diambil alih sepenuhnya oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) ekoran masalah yang dihadapi oleh syarikat kontraktor dilantik.

Pengambil alihan sementara itu dibuat bagi memastikan kerja-kerja kutipan sampah tidak menimbulkan masalah selain untuk mengatasi situasi semasa.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, langkah ini dijangka dapat mengatasi isu kutipan sampah menjelang pertengahan Disember.

“MBI juga akan menggunakan sebahagian daripada lori-lori dan jentera baharu yang dibeli untuk melancarkan lagi operasi tersebut selain penambahan tenaga kerja.

“Sepanjang tempoh itu petugas-petugas MBI akan melakukan kutipan sampah sepertimana mengikut jadual ditetapkan,” ujarnya.

Sejak September lalu, MBI terpaksa melakukan penjadualan semula operasi kutipan sampah domestik berikutan masalah tenaga kerja syarikat konsesi termasuk petugas dijangkiti Covid-19.

Bagaimana pun, isu kutipan sampah oleh syarikat konsesi masih tidak selesai menyebabkan timbul rungutan dalam kalangan warga bandaraya ini apabila longgokan sampah dibiarkan tidak dikutip sehingga beberapa hari.

Selain sampah domestik, isu sampah haram juga masih berlarutan disebabkan sikap ambil mudah segelintir penduduk.

Dalam perkembangan lain, Rumaizi memberitahu, projek menaik taraf rangkaian paip pembetungan yang melibatkan beberapa lokasi di bandaraya ini hanya dijangka siap menjelang Jun 2023.

Bagaimana pun, MBI katanya sentiasa mengambil maklum progres kerja-kerja berkenaan yang juga merupakan sebahagian daripada rancangan pembangunan bandar.

“Ini merupakan projek kerajaan yang dikendalikan oleh kontraktor dilantik dan bukannya MBI, tapi sepertimana warga bandar Ipoh kita juga mahu ia siap lebih awal.

“Penutupan sebahagian jalan dan laluan terpaksa dibuat, justeru pengguna juga diminta memahami keperluan perkara ini untuk pembangunan masa akan datang,” ujarnya.