IPOH - Kerajaan Negeri Perak melalui Jabatan Pertanian Negeri Perak mewujudkan kempen Kebun Kita bagi memperkasa aktiviti pertanian dalam kalangan masyarakat.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sebanyak RM3,109,000.00 telah diperuntukan untuk bantuan projek individu dan projek komuniti.

"Kempen ini secara keseluruhannya menyasarkan sejumlah 7,657 individu dan 147 komuniti. Setiap komuniti melibatkan 10 peserta dan jumlah keseluruhan bagi peserta komuniti adalah 1,470 orang.

"Ini menjadikan jumlah keseluruhan peserta bagi kempen ini adalah 9,127 orang atau bersamaaan 9,127 rumah. Sekiranya satu rumah mempunyai 4 isi rumah bermakna program ini memberi manfaat kepada lebih 36,508 orang rakyat Negeri Perak.

"Menerusi kempen ini, peserta individu dibekalkan dengan barang-barang seperti pasu, benih, tanah baja, biopestiside dan bahan tanaman beserta manual tanaman. Manakala peserta komuniti pula dibekalkan dengan set sistem fertigasi, baja, tanah, planter box, biopestiside dan lain-lain set perkebunan," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut Saarani, inisiatif kempen ini juga diharap dapat mencetuskan kecintaan masyarakat terhadap bidang pertanian, bermula dengan mengusahakan ‘kitchen garden’ atau taman sayur di halaman masing-masing.

"Kempen Kebun Kita ini juga bertepatan sekali dengan slogan ‘Tanam apa yang kita makan, makan apa yang kita tanam, selebihnya kita boleh jual atau bersedekah’.

"Sebagai makluman, tanaman yang ada di Petak Promosi Urban Farming ini merupakan pusingan tanaman yang kedua. Pusingan pertama telah ditanam dengan pokok markisa, petola, timun, kangkung, bayam brazil, sawi, kailan, pak choy, terung dan cili merah. Hasil pusingan pertama yang telah dituai mencecah hampir 200 kilogram.

"Bagi pusingan kedua, tanaman markisa masih dikekalkan disamping tanaman semula pokok petola, kangkung, bayam brazil, cili padi, terung dan kobis tanah rendah," ujarnya.