CAMERON HIGHLANDS - Tiga kenderaan dipercayai tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Simpang Pulai - Cameron Highlands petang tadi yang menyebabkan laluan kedua-dua arah terhalang.

Kejadian yang berlaku pada pukul 1.30 petang itu dipercayai melibatkan sebuah kenderaan Toyota Vellfire, sebuah kereta dan sebuah lori.

Jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 1 44 petang.

Menurut jurucakap itu, operasi mencari dan menyelamat mangsa kini dijalankan melibatkan kira-kira 121 orang anggota pelbagai agensi termasuk polis, Angkatan Pertahanan Awam dan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).

Turut digunakan ialah empat ekor angin pengesan daripada Unit K9 Bomba.

Komander Operasi diketuai Penolong Pengarah Operasi Bomba negeri Perak, PgKB II Muhammad Shahrizal Aris.

Sehingga pukul 5 petang tadi pasukan penyelamat telah berjaya mengesan kedudukan kenderaan yang tertimbus dan usaha mengalihkan tanah sedang giat dijalankan.

Pasukan penyelamat turut dibantu dua buah jengkaut untuk mengorek tanah.

Turut berada di lokasi kejadian ialah Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak, Azmi Osman.

Sementara itu, Mior Faridalathrash memberitahu,
identiti mangsa ketika ini disahkan sebagai Muhammad Hafiz Hamdi, 31, iaitu pemandu lori sayur yang dalam perjalanan dari Cameron Highlands ke Ipoh.

Katanya, pasukan penyelamat berjaya mengesan kedudukan lori berkenaan dan usaha mengeluarkan mangsa tersepit sedang dijalankan.

"Berdasarkan maklumat awal, terdapat seorang mangsa yang juga pemandu lori terperangkap dalam runtuhan itu.

"Keadaan mangsa bagaimana pun belum diketahui dan usaha menyelamatkannya sedang dijalankan oleh pasukan penyelamat," katanya.