IPOH - Kerajaan negeri Perak meletakkan sasaran dalam tempoh pemulihan sektor pelancongan untuk menerima kira-kira 14 juta pelawat domestik dan 6 juta pelawat bermalam yang akan berkunjung ke negeri ini pada tahun hadapan.

Mengikut statistik, seramai 13.7 juta pelawat telah berkunjung ke Perak sepanjang tahun lalu yang juga merupakan negeri kedua menerima pengunjung paling ramai selepas Selangor.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, kehadiran pelawat ke Perak ini telah berjaya menjana sebanyak RM2.347 billion kepada kitaran ekonomi negeri Perak.

Menurut beliau, pembukaan semula sektor pelancongan sejak bulan Oktober 2021 disambut baik oleh semua pihak dengan Pulau Pangkor, Bandaraya Dalam Geopark Ipoh dan Bandar Warisan Taiping merupakan antara destinasi pelancongan utama.

“Bagi memacu pemulihan pelancongan, kerajaan negeri telah merancang satu Program Khusus dibawah Peruntukan Pakej Ransangan Ekonomi iaitu Program Pemulihan Pelancongan Perak DReAM

“Program ini bakal memanfaatkan kepada pelancong selain memberi impak sosioekonomi, antaranya kepada usahawan makanan (gastronomi), pengusaha dan kakitangan penginapan (inap desa, chalet atau resort dan hotel), pemandu pelancong, pemandu bot,” ujarnya pada sesi penggulungan portfolionya pada Sidang Dewan Undangan Negeri Perak di sini, hari ini.

Jelas Nolee, sektor pelancongan juga memberi manfaat kepada pengusaha pengangkutan, penyampai perkhidmatan seperti syarikat pembersihan dan keselamatan, syarikat penganjur acara dan vendor cenderamata.

Katanya, penganjuran acara untuk penjanaan pendapatan untuk pengusaha pelancongan samada dalam bidang penginapan, perkhidmatan termasuk usahawan makanan minuman, barangan dan pengendali aktiviti selain daripada memastikan Perak terus menjadi pilihan dan mendapat kunjungan pelawat secara berkali.

“Pemasaran akan diperhebatkan melalui pakej baru untuk pasaran domestik dan antarabangsa. Antara pakej yang sesuai bukan sahaja bagi Perak malah negeri-negeri utara Malaysia adalah termasuk pelancongan rel, Tapak Warisan Dunia UNESCO, geopelancongan dan Coffee Map.

“Tidak ketinggalan juga Jejak Warian di Batu Gajah, Taiping dan Teluk Intan, dan dalam proses Jejak Kopi. Sistem pengurusan pemasaran juga amat penting dalam kita merencanakan pemasaran yang berjaya,” ujarnya.