IPOH - Kaedah pengurusan penyelenggaraan semua jalanraya pihak berkuasa tempatan (PBT) sepanjang 7,908 kilometer (km) secara konsesi yang dilantik oleh kerajaan Perak ini merupakan inisiatif yang pertama di Malaysia sebagai langkah proaktif kerajaan negeri bagi
meringankan beban PBT.

Justeru, kerajaan negeri melalui Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) dan PBT sentiasa memantau pelaksanaan dan prestasi kontrak kerja syarikat konsesi Puncak Emas Infra Sdn Bhd (PE) sejak ia mula dilaksanakan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, beberapa kaedah pemantauan yang dilakukan termasuklah mesyuarat berkala di antara pihak konsesi pada pelbagai peringkat termasuk lawatan pemeriksaan tapak secara mengejut dan berjadual bagi memperkemaskan kefahaman pegawai-pegawai dalam memantau kerja-kerja yang dilaksanakan oleh PE.

Menurut beliau, melalui pemantauan ini, didapati masih terdapat salah faham dan kekeliruan tentangskop kerja yang perlu dilunaskan oleh pihak konsesi dan kerja-kerja yang sepatutnya dilaksanakan oleh jabatan dan agensi yang lain.

“Skop kerja PE adalah kerja-kerja penyelenggaraan sahaja meliputi kerja-kerja rutin iaitu turapan lubang, pemotongan rumput, pembersihan perabot jalan, jambatan, pembetungan dan longkang.

“Manakala kerja berkala iaitu menurap semula jalanraya, penyenggaraan struktur jalan, mendapan, selenggara cerun, penggantian perabot jalan dan mebaikpulih longkang dan mencantas pokok serta kerja-kerja kecemasan pada jalanraya yang didaftarkan sahaja dalam Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS).

“Dalam garispanduan tersebut, kerja-kerja membina baru dan naiktaraf jalanraya tidak diambilkira dan tidak menjadi tanggungjawab PE dalam konteks perjanjian konsesi ini,” ujarnya pada sesi penggulungan portfolionya pada Sidang Dewan Undangan Negeri Perak di sini hari ini.

Bagaimana pun kata Nolee, sebagai langkah prihatin, kerajaan negeri masih menyediakan peruntukan kerja-kerja MARRIS selain dari peruntukan yang diberikan melalui perjanjian konsesi.

Sehubungan itu, jelas beliau, pihak PBT akan memohon kelulusan peruntukan Pegawai Kewangan Negeri bagi menangani aduan yang tidak ditampung oleh perjanjian konsesi.

“Dalam menguruskan kelemahan prestasi syarikat konsesi, kerajaan negeri akan melihat semula prosedur operasi standard (SOP) Non-Compliance Record (NCR) agar teguran yang dibangkitkan oleh PBT kepada pihak konsesi dapat ditangani dengan cepat dan cekap untuk memastikan keselamatan awam terpelihara,”ujarnya.