IPOH - Ketua Jurulatih DJR FC (A), Shahrilnizam Ahmad menggesa anak buahnya berjuang berhabis-habisan andai mahu membawa pulang trofi Piala FA Persatuan Bolasepak Ipoh (PBI) ketika bertemu SUK Perak FC dalam pentas akhir Sabtu ini di Stadium Perak.

Berstatus bukan pasukan pilihan ke pentas akhir, Shahrilnizam sedar dengan kekuatan lawan namun menyifatkan tidak mustahil kejutan mampu dilakar.

Malah, katanya DJR FC tidak akan memberi laluan mudah kepada SUK Perak FC dan akan memberikan persembahan terbaik pada perlawanan itu nanti.

"Sudah tentu SUK antara pasukan terbaik di Ipoh yang kita tahu memiliki pemain berbakat. Tapi kami takkan beri laluan mudah buat mereka apatah lagi kali terakhir kami bergelar juara pada 2014 lalu.

"Kami akan memberikan persembahan terbaik dan fokus seratus peratus bagi perlawanan akhir yang dijadualkan di Stadium Perak, Ipoh jam lima petang," katanya.

Sementara itu, Pengurus SUK Perak FC, Khairul Nizam Musa berkata, pasukan dahagakan kemenangan di pentas final dan telah bersedia seratus peratus.

"Ini merupakan kali keempat pasukan SUK Perak FC berada di pentas final dan fokus kami adalah untuk bergelar juara pada kejohanan kali ini.

"Apa yang pasti pasukan kami akan memberikan tentang sengit bagi memastikan Piala FA milik kami, jadi saya rasa kami mampu untuk berikan sepenuh komitmen pada perlawanan Sabtu ini," katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua PBI, Joharuddin Johar Ali berkata kejohanan kali ketujuh itu mengguna format kalah singkir dan mendapat penyertaan daripada 25 pasukan seluruh negeri Perak.

"Juara akan membawa pulang Piala Pusingan beserta wang berjumlah RM3000 manakala buat naib juara akan membawa pulang wang sebanyak RM2000 dan fokus kami disini adalah semangat kesukanan serta melahirkan generasi bolasepak yang baru.

"Kami di PBI sedang merangka untuk menganjurkan Piala Juara-Juara yang menghimpunkan kesemua pasukan juara seluruh daerah, kita yakin ia mampu dilaksanakan kelak,” katanya.