IPOH: Bersempena dengan Program Kembali Ke Sekolah, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) terus tampil menghulur bantuan dan meringankan bebanan kakitangannya.

Setiausaha MBI, Ahmad Munir Ishak berkata menerusi program berterusan MBI Prihatin, kali ini pihaknya berkerjasama dengan Kedai Canggih Sutera Sdn.Bhd., bagi melaksanakan bantuan kepada kakitangan MBI yang terdiri dari golongan B40 di pelbagai jabatan.

“Kami telah mengenal pasti seramai 100 orang akan menerima sepasang pakaian sekolah dengan peruntukan seorang bernilai RM130.00 dan jumlah keseluruhannya melibatkan RM13,000.

“Buat kali ini kita menumpukan kepada murid-murid sekolah rendah dan kemungkinan pada sumbangan akan datang, kita akan menumpukan pula kepda pelajar-pelajar di peringkat sekolah menengah pula,” kata selepas Majlis Penyerahan Bantuan Back To School, Anak- Anak Kakitangan MBI di Kedai Canggih Sutera Sdn.Bhd., di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Urusan Canggih Sutera Sdn Bhd., Rozamir Zulkifli; Pengarah Kanan Perkhidmatan, Rohayah Abd Kadir dan Pengarah Perkhidmatan Komuniti & Kemasyarakatan MBI, Normala binti Latiff.

Pengarah Urusan Canggih Sutera Sdn Bhd., Rozamir Zulkifli juga turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak MBI, khususnya Datuk Bandar Ipoh, Dato’ Rumaizi Baharin @Md Daud di atas jalinan kerjasama bagi membantu golongan yang memerlukan.

“Program seumpama ini membuka peluang kepada keluarga yang kurang berkemampuan untuk membeli pakaian sekolah anak-anak yang dijamin berkualiti.

“Sememangnya semua maklum, produk-produk keluaran Canggih Sutera terdiri daripada bahan-bahan yang berkualiti tinggi namun harga adalah mampu milik bersesuaian dengan pandemik ini.

“Kita juga mahu membantu golongan yang kurang berkemampuan dengan menyediakan diskaun sebanyak 10 hingga 15 peratus mengikut pakage yang diberi. Kedai ini beroperasi setiap hari dari jam 9.00 pagi hingga 9 malam,” katanya.

Program MBI Prihatindi wujudkan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Lebih RM1 juta telah dibelanjakan bagi membantu meringankan beban penduduk, peniaga, anggota dan mantan anggota MBI dalam meneruskan kehidupan mereka yang terkesan dalam situasi pandemik Covid-19.

MBI bersama rakan strategik seperti pasar raya Econsave serta penaja lain turut menyampaikan sumbangan menerusi Program MBI Prihatin. MBI Prihatin akan terus menjadi platform MBI untuk memastikan Ipoh Bandaraya Bestari Sejahtera.