DUBAI - TT5 Maze Park, tarikan terbaharu eko-pelancongan MBInc. melalui anak syarikat, Amanjaya TT5 Sdn. Bhd, sudah pun sampai ke peringkat antarabanga apabila mendapat tempat Expo Dubai 2020,iaitu salah satu acara terbesar dunia, turut disertai 192 buah negara, pada 31 Disember lalu.

TT5 Maze Park terletak bersebelahan monumen ikonik perlombongan biji timah di Geopark Kebangsaan Lembah Kinta, Kapal Korek Tanjung Tualang No 5 (TT5) yang menggabungkan lapan elemen unik dan menyeronokkan membentuk bentuk hati (love shape) dengan menggunakan bahan-bahan sinonim dengan negeri Perak seperti batuan mineral serta barangan kitar semula dan atap rumbia hasil tangan Orang Asli.

Sementara itu, Kapal Korek TT5 dan TT5 Maze Park turut mendapat perhatian Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Sri Nancy Shukry ketika mengunjungi tapak pameran produk pelancongan negeri Perak selepas merasmikan Pavilion Malaysia, di tapak expo.

Turut mengiringi ialah Duta Besar Malaysia ke UAE, Mohd Tarid Sufian dan Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai, Mohd Hasril Abdul Hamid.

Hadir sama Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin; Ketua Pegawai Eksekutif MBInc., Anuar Zainal Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Management Berhad, Nurmalis Musa .

Anuar berkata, MB Inc. berasa bertuah kerana berpeluang mempromosikan produk pelancongan negeri Perak, Kapal Korek TT5 dan TT5 Maze Park sehingga ke peringkat antarabangsa.

Jelasnya lagi, MB Inc. bukan sekadar memulihara kapal korek malah turut berasa bertanggungjawab untuk membangunkan bekas tapak perlombongan bijih timah ini dengan menghijaukan sekitarnya dengan penanaman pokok-pokok selain memperkenalkan tarikan terbaharu, TT5 Maze Park yang direka untuk tujuan pelancongan dan riadah seisi keluarga.

“TT5 Maze Park bukan sekadar Taman Pagar Sesat berbentuk hati malah turut ada petting zoo, café The Can Tin ala 70-an yang mengetengahkan hidangan dim sum dan pau serta Ipoh White Coffee selain menjanjikan pengalaman dan pemandangan menarik disekitarnya,” katanya.

Katanya lagi, TT5 Maze Park merupakan Taman Pagar Sesat yang terbesar dan berbentuk hati yang pertama seumpamanya di Malaysia, yang kini mendapat perhatian pelancong domestik mahupun luar negara.

Tambahnya lagi, MB Inc. komited dengan mengunjurkan kenaikan pelancong domestik sehingga 60 peratus manakala pelancong antarabangsa sebanyak 40 peratus .

“Kita menjangkakan kehadiran pelancong daripada Asia Barat dan Asia termasuk China dan Singapura.

Selain itu, MB Inc. juga menjangkakan pelancong dari United Kingdom (UK) kerana Kapal Korek yang berada TT5 itu dibina di England sekitar 1930-an.

"Ini akan menarik pelancong luar negara untuk melihat lebih dekat lagi ‘marvel engineering’ yang dibina ketika zaman kegemilangan bijih timah di negeri Perak dan tidak lupa juga, tarikan terbaharu, TT5 Maze Park’’ ujarnya.

 Untuk maklumat lebih lanjut berkaitan TT5 Maze Park dan Kapal Korek TT5, boleh layari https://tt5perak.com atau Facebook: TT5 Perak atau Instagram @tt5perak