GERIK - Seorang lelaki yang sedang melakukan aktiviti luncur udara (paragliding) cedera apabila terjatuh dalam rimbunan buluh di Taman Tasik Permai, Pengkalan Hulu di sini.

Mangsa, Rizal Abdul Manap, 35, mengalami kecederaan patah bahu kanan selepas tersangkut pada rimbunan pokok buluh berkenaan.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 1.30 petang sebelum bantuan bomba dihubungi untuk menyelamatkan mangsa.

Jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Perak memberitahu, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 1.53 petang.

Katanya, sepasukan anggota dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Hulu dikerah ke lokasi bagi operasi menyelamat.

"Setiba di lokasi, kita mendapati seorang lelaki Melayu tersangkut pada pokok buluh, dipercayai hilang kawalan semasa melakukan aktiviti paragliding.

"Anggota bomba bertindak menurunkan mangsa sebelum memberi rawatan awal," ujar jurucakap tersebut dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata jurucakap itu, mangsa kemudiannya diserahkan kepada petugas kesihatan dan dihantar ke Hospital Gerik untuk rawatan selanjutnya.

Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Visal Reang itu tamat pada pukul 3.18 petang.