IPOH - Kira-kira 30,000 kenderaan yang melalui Jalan Tambun bakal menarik nafas lega apabila tiada lagi lampu trafik di Jalan Tambun apabila projek menaik taraf simpang susur masuk Jalan Persekutuan 240 (Ampang-Jelapang) sehingga ke persimpangan lampu isyarat Taman Perpaduan, siap sepenuhnya September ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, projek kolaborasi bagi menaik taraf Jalan Tambun antara Majlis Bandaraya Ipoh dan Sunway City Ipoh Sdn. Bhd., bertujuan untuk melancarkan aliran lalulintas di jalan tersebut selari dengan pembangunan di kawasan Bandar Sunway Ipoh.

“Projek naik taraf di jalan ini bertujuan melancarkan aliran trafik kerana kita dapati pembangunan pesat di  kawasan ini menyebabkan aliran trafik di jalan ini tersangkut-sangkut sebelum ini.

“Kita berterima kasih kepada Datuk Bandar, Datuk Rumaizi Baharin dan Tan Sri Datuk Seri Dr.Jeffry Cheah selaku Pengerusi Sunway Group, yang akhirnya telah bersetuju untuk berkolaborasi saling  menyumbang iaitu Kerajaan Negeri RM 8 juta, manakala Kumpulan Sunway menyumbang RM8.35 juta untuk menyempurnakan jumlah perbelanjaan kos sebanyak RM16.35 juta bagi kita melaksanakan projek menjadikan jalan sepanjang 5.2 kilometer ini dapat dimanfaatkan,” katanya.

Menurutnya, cadangan naiktaraf jalan ini melibatkan penggantian lima persimpangan berlampu isyarat sedia ada kepada laluan pusingan–U secara bebas di tiga lokasi yang telah dikenalpasti.

Ia juga melibatkan kerja pemasangan lampu jalan jenis LED, turapan semula permukaan jalan, pemasangan fasiliti keselamatan jalanraya dan menaiktaraf sistem perparitan sediada bagi mengatasi masalah banjir kilat.

Beliau berkata demikian ketika hadir Majlis Pecah Tanah Cadangan Projek Penaiktarafan Jalan Tambun bemula persimpangan Jalan Persekutuan 240 sehingga ke Persimpangan Taman Perpaduan di sini, pagi Isnin.

Hadir sama Ahli Parlimen Tambun merangkap Menteri Belia Dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu;  Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin@Md Daud; , Datuk Bandar Ipoh; Pengerusi Sunway Group, Tan Sri Datuk Seri Dr. Jeffry Cheah; Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Negeri Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun, dan ADUN Hulu Kinta Muhammad Arafat Varisai Mahamad.

Saarani berkata, projek berkenaan tertangguh sebelum ini disebabkan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) walaupun taklimat mengenai projek tersebut telah diadakan kepada Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri, pada  awal tahun 2020 

“Exco Kerajaan Negeri telah mengambil tindakan-tindakan yang sewajarnya dan sepatutnya ia sudah bermula pada tahun lepas (2021) tetapi masalah PKP ini menjadikan kerja-kerja pembinaan  terpaksa ditangguhkan, “ kata beliau lagi.

Tambahnya, dengan keadaan semasa yang sudah kembali reda, projek itu telah diteruskan dan dijaduallkan siap sepenuhnya pada bulan September 2022.

Beliau berkata, projek  ini dapat memberikan manfaat kepada pembangunan ekonomi negeri, Bandaraya Ipoh dan khususnya kawasan Parlimen Tambun ini.

“ Dulu ada beberapa lampu isyarat dan ini menyebabkan berlakunya kesesakan jalan raya.

“ Maka tanpa lampu trafik ini kelak  ia dapat melancarkan pergerakan kenderaan sekaliguskan akan dapat mengurangkan kadar pengeluaran karbon kerana lagi banyak kenderaan yang tunggu di lampu trafik, lagi banyak asap di lepaskan,” jelas beliau lagi.