IPOH - Kumpulan Sunway bakal buka pusat perubatan dan pusat membeli belah dalam perbandaran bersepadu Bandar Sunway Ipoh berkeluasan 1,350 ekar menjelang tahun 2025.

Pengasas yang juga Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Datuk Seri Dr. Jeffry Cheah berkata, kerja perluasan Jalan Tambun bernilai RM16 juta merupakan tambahan baharu kepada pelaburan kumpulan bernilai RM2 ribu juta di bandar tersebut.

“Usaha perluasan Jalan Tambun dijangka mengurangkan kesesakan lalulintas dan meningkatkan aksesibiliti Koridor Pembangunan Timur, Ipoh.

“Kerja naik taraf bernilai RM16 juta ini merupakan usaha terkini dalam siri kolaborasi yang dijalankan bersama Sunway dan Kerajaan Negeri Perak sejak awal 2000-an untuk merangsang ekonomi bandar tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Projek naik taraf Jalan Tambun, di Sunway City di sini, pada Isnin.

Hadir sama, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.

Katanya, pusat perubatan bernilai RM350 juta itu mempunyai 200 buah katil dan bakal dibuka pada tahun 2024.

Selain itu, sebuah pusat membeli-belah dengan kawasan yang boleh disewa seluas 700,000 kaki persegi dan mempunyai 2,700 buah parkir kenderaan.

-end--