IPOH- Hubungan dua hala antara  Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dengan Bandaraya Nanning, China memberi manfaat kepada rakyat negeri Perak khususnya dalam pasca pandemik ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, YB Mohd Akmal Kamaruddin berkata usaha MBI yang bukan sahaja menumpukan kepada pembangunan dan kelestarian bandaraya Ipoh tetapi keprihatian yang ditunjukkan oleh Datuk Bandar Ipoh, Dato’ Rumaizi Baharin Md@ Daud dalam menangani krisis COVID-19 sentiasa berterusan.

“Kerajaan Negeri Perak berbangga dan berterima kasih di atas usaha MBI yang bertindak sebagai perantaraan di antara negeri Perak, Malaysia dan negara China. Hasil dari hubungan dua hala itu, hari ini Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) menerima dua unit alat bantuan pernafasan (ventilator).

“Bantuan ini adalah untuk kegunaan perkhidmatan kesihatan di Bandaraya Ipoh. Ia bertepatan pada masa sekarang bagi melancarkan lagi perkhidmatan terhadap pesakit-pesakit COVID-19 khususnya di HRPB,” katanya pada media selepas penyerahan sumbangan tersebut kepada Timbalan Pengarah Perubatan (1), HRPB, Megat Iskandar bin Megat Abdul Hamid.

Kedua-dua peralatan itu bernilai RM136,000 dan telah diterima oleh HRPB pada 17 Disember 2021. Ia telah diguna pakai khususnya kepada pesakit-pesakit COVID-19.

Sementara itu Datuk Bandar Ipoh, Dato’ Rumaizi Baharin berkata sumbangan itu memberi manfaat kepada para pesakit dan mampu menyelamat lebih banyak nyawa.

“Barisan hadapan, khususnya di dalam perkhidmatan kesihatan merupakan pihak yang terpenting dalam memastikan pengawalan penularan wabak covid-19. Sumbangan ini pastinya membantu memudahkan gerak kerja barisan hadapan bagi menyelamatkan nyawa para pesakit.

“MBI begitu prihatin dalam menangani isu COVID-19. Selain daripada membantu menyediakan fasiliti bagi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan sebagainya, MBI juga mengambil peluang menerusi hubungan dengan pihak luar negara bagi mendapatkan bantuan.

“Semoga hubungan dua hala ini dapat diteruskan. Ia bukan sahaja memberi manfaat kepada kedua-dua pihak tetapi  dapat membantu institusi perubatan negeri  ke arah yang lebih produktif untuk kesejahteraan rakyat khususnya,” katanya.

Bandaraya Ipoh telah menjalinkan hubungan dengan Bandaraya Nanning, China sejak 1 April 2005 sehingga kini.