IPOH - Aspek keselamatan kepada orang ramai khususnya pengunjung dan pengguna perkhidmatan pengangkutan awam di Terminal Meru Raya di sini sentiasa dititikberatkan.

Buktinya, pengendali Terminal Meru Raya, Perak Transit mengambil inisiatif apabila membina pondok polis komuniti bagi kegunaan anggota keselamatan itu semasa melakukan tugasan.

Majlis perasmian pondok polis komuniti tersebut telah disempurnakan tadi oleh Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid bersama
Pengarah Eksekutif Perak Transit, Datuk Cheong Peak Sooi.

Dalam ucapannya, Peak Sooi berkata, kewujudan pondok polis komuniti tersebut merupakan salah satu usaha untuk memberi perkhidmatan kepada masyarakat serta berasa selamat sewaktu berada di kawasan premis.

"Pihak Perak Transit amat menyokong usaha pihak polis memantau keberkesanan pelaksanaan langkah program Bandar Selamat dalam menangani jenayah jalanan Terminal Meru Raya.

"Untuk makluman, pihak Perak Transit sentiasa mengalu-alukan kerjasama dengan agensi-agensi dalam usaha menyampaikan maklumat kepada masyarakat," ujarnya.

Pondok polis komuniti berukuran 10x10 untuk kegunaan pihak polis ini dilengkapi dengan pendingin udara, kerusi dan meja.

Ia juga merupakan langkah bijak untuk mengekang perlakuan dan menurunkan kes jenayah.