BATU GAJAH - Hasrat keluarga seorang ibu tunggal untuk memiliki kediaman baharu tercapai apabila menerima kunci rumah menerusi Projek Baiti Jannati Tahun 2020 di Kampung Tersusun, Sungai Terap dekat sini semalam.

Program tanggungjawab sosial korporat ini menerusi kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan kerajaan negeri Perak melalui Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk)

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Mohd. Zolkafly Harun berkata, keluarga berkenaan dibantu berdasarkan kelayakan mereka.

"Saya menzahirkan ucapan tahniah kepada Puan Norismah Ismail dan keluarga kerana telah terpilih didalam Program Projek Baiti Jannati Tahun 2020 ini.

"Kerajaan negeri berharap dengan bantuan rumah baharu ini dapat mengurangkan beban keluarga dan menjalani kehidupan yang lebih selesa," ujarnya semasa berucap pada majlis tersebut.

Rumah baharu itu bagi menggantikan kediaman sedia ada keluarga ini yang dalam keadaan uzur dan tidak selamat diduduki.

Terdahulu, Mohd. Zolkafly bersama Ketua Pengawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din telah menyempurnakan majlis penyerahan kunci rumah kepada Norismah.

Sehingga kini, TNB dengan kerjasama kerajaan negeri telah berjaya membina 24 buah rumah bantuan bagi tahun 2020 kepada golongan asnaf yang telah terpilih dengan peruntukkan sebanyak RM1.2 juta.