SERI ISKANDAR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri Perak dengan kerjasama Food Bank Malaysia telah menyerahkan sumbangan makanan kepada beberapa penerima di UiTM Seri Iskandar.

KPDNHEP negeri Perak dalam hantaran menerusi laman media sosial rasminya memberitahu, kira-kira 60 orang pelajar daripada golongan asnaf memperolehi manfaat daripada program ini.

Kata kenyataan itu, wakil pihak UITM Seri Iskandar telah menerima sumbangan berkenaan dan mengucapkan ribuan terima kasih atas bantuan berkenaan.

"Program Food Bank Malaysia yang diterajui oleh KPDNHEP adalah salah satu inisiatif peduli rakyat dalam membantu golongan kurang berkemampuan.

"Ia juga dapat meringankan kos sara hidup mereka disamping dapat mengurangkan pembaziran makan diperingkat industri peruncitan," kata kenyataan tersebut.

Barangan sumbangan ini juga diperolehi daripada syarikat FFM Marketing Sdn. Bhd. melalui Pejabat KPDNHEP Cawangan Manjung.