𝗟𝗨𝗠𝗨𝗧 – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Perak telah menahan sebuah bot nelayan tempatan Kelas C kerana melanggar syarat sah lesen di posisi lebih kurang 5.5 batu nautika timur Pulau Jarak pada pukul 5.05 petang 11 Januari lepas.

Pengarah Maritim negeri Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, tangkapan berkenaan dilakukan oleh Kapal Maritim (KM) Nyalau yang sedang melaksanakan Op Benteng dan Op Pintas di persempadanan perairan negeri Perak.

Ketika ditahan, bot yang dikendalikan lima kru warga Myanmar termasuk tekong, tiada sebarang dokumen pengenalan diri yang sah itu disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985, menangkap ikan kurang daripada 12 batu nautika seperti kebenaran syarat sah lesen dan Akta Imegresen 1959/63.

Bot bersama kru serta hasil tangkapan dianggarkan lebih kurang 300 kilogram itu diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Perak untuk tindakan lanjut.

Justeru, orang ramai diminta menyalurkan maklumat atau aduan jenayah maritim kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau MERS 999.