TAIPING - Sikap penting diri segelintir masyarakat yang tiada kesedaran sivik membuang sampah sehingga mengotorkan persekitaran menyebabkan Jalan Susur Paduka Setia 2, RPT Paduka Setia, Kampung Taiping sini ditutup.

Majlis Perbandaran Taiping (MPT) menerusi hantaran pada laman Facebook rasmi memberitahu, tindakan tersebut diambil setelah pelbagai usaha dilakukan gagal membendung sikap buruk tersebut.

Menurut kenyataan itu, kawasan berkenaan yang yang kerap menjadi lokasi pembuangan sampah haram telah ditutup dengan tali penghadang serta diletakkan notis amaran dari Jawatankuasa Penduduk (JKP) MPT Zon 12.

"Penduduk RPT Paduka Setia harus peka jadual kutipan sampah oleh kontraktor dari rumah ke rumah yang dilaksanakan tiga kali seminggu iaitu pada hari Selasa, Khamis dan Sabtu.

"Sediakan tong sampah di hadapan kediaman masing-masing dan pastikan tiada kenderaan atau pelbagai bentuk halangan lori memasuki lorong kediaman anda," ujar kenyataan tersebut.

Sehubungan itu, MPT menyeru semua pihak agar menghentikan tabiat membuang sampah merata-rata tempat.

"Mana-mana pihak yang membuang sampah haram akan diambil tindakan undang-undang di bawah Undang-Undang Kecil Kebersihan Awam (Majlis Perbandaran Taiping) 1984 (Pk.P.U.18).

"Kompaun RM250 akan dikeluarkan dan boleh dikenakan denda tidak lebih RM2,000, penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan," tambah kenyataan itu lagi.