Ipoh- Walaupun upacara tradisi membawa kavadi tidak dibenarkan namun tiga acara lain seperti paalkoodam, perarakan kereta kuda (chariot) dan cukur rambut dibenarkan sempena Perayaan Thaipusam tahun ini.

Presiden Kuil Perak, M. Vivekananda berkata sambutan perayaan keagamaan kedua terbesar bagi penganut Hindu tahun ini dijalankan secara sederhana mengikut sepertimana yang diarahkan oleh Kementerian Perpaduan Negara.

Kita sedia maklum dan akur dengan perintah dan syarat-syarat yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan agar perayaan tahun ini dilaksanakan secara sederhana mengikut SOP yang ditetapkan bagi menjamin keselamatan dalam usaha menyekat penularan COVID-19 di negara ini.

Seperti kebiasaan perayaan Thaipusam akan dilangsungkan di Kuil Sri Subramaniar, Gunung Cheroh, namun penyertaan pada tahun ini agak berkurangan jika dibanding pada tahun sebelumnya.

Untuk acara perarakan kereta kuda (chariot) pada 16 dan 19 Januari, ianya akan disertai seramai 100 orang sahaja dan hanya melibatkan tujuh lokasi perhentian. Peserta perlulah mendaftar dan mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Gerai-gerai yang sebelum ini didirikan sepanjang jalan berdekatan kuil tidak dibenarkan malah apa sahaja bentuk perniagaan juga tidak dibenarkan,” katanya kepada Ipohecho sewaktu ditemubual menerusi talian, hari ini.

Hari Thaipuisam merupakan perayaan yang disambut oelh penganut beragama Hindu di seluruh dunia bagi menghormati dewa Hindu, Dewa Murugan atau dikenali sebagai Dewa Subramaniam.

M. Vivekananda juga menambah, upacara paalkoodam atau membawa belanga berisi susu telah ditetapkan lebih awal iaitu 14 hingga 19 Januari.

Upacara membawa paalkoodam dibenarkan dengan pematuhan SOP Perayaan Thaipusam. Pihak Pengurusan Kuil hendaklah menyediakan laluan khas kepada pembawa paalkoodam dan memastikan tanda penjarakan satu meter dapat dilihat dan dipatuhi sewaktu beratur membawa paal koodam ke kuil,” ujarnya.