IPOH - Kejadian kebakaran yang memusnahkan kedai kacang putih popular di Buntong, DNS Kacang Putih tidak menjejaskan perniagaan tersebut apabila bakal beroperasi di premis yang lain.

Perkara itu dimaklumkan menerusi hantaran dalam laman Facebook rasmi DNS Kacang Putih.

"Adalah dimaklumkan syarikat DNS Kacang Putih, Buntong akan beroperasi di lokasi baru iaitu di No. 45, Laluan Sungai Pari 4, Kg Kacang Putih, bersebelahan dengan lokasi sekarang bermula 19 Januari.

"Sebarang kesulitan amat di kesali dan terima kasih atas sokongan anda," ujar kenyataan tersebut.

DNS Kacang Putih yang merupakan antara  perniagaan kacang popular di Ipoh juga menjadi lokasi tarikan pengunjung dalam dan luar negara ke bandar ini.

Perniagaan kacang putih yang sinonim dalam kalangan masyarakat India ini telah diwarisi puluhan tahun sehingga menjadi antara ikon pelancongan di Ipoh.

Dalam kebakaran awal pagi semalam,  Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Perak memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 1.08 pagi.

Sebaik menerima panggilan sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) telah dikerah ke lokasi kejadian.

“Semasa pihak bomba tiba, api sedang marak membakar sebuah kedai memproses dan menjual kacang putih.

 "Kebakaran turut menyebabkan sebuah rumah dua tingkat yang terletak bersebelahan musnah 30 peratus selain sebuah motosikal jenis Honda EX-5 dan van Nissan Vanette terbakar," ujar jurucakap bomba.