IPOH – Inisiatif untuk mempelbagaikan tarikan bercorak perayaan di pusat beli-belah sepertimana dilakukan oleh pihak AEON Midtown Falim untuk mewarnai sambutan Tahun Baharu Cina dipuji kerana pada masa sama merapatkan hubungan sesama masyarakat.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, acara sedemikian juga dapat mempertingkatkan lagi pengalaman para pelanggan AEON dan sekaligus dapat turut merancakkan industri pelancongan tempatan.

Menurut beliau, ianya juga dapat mendedah dan mendidik generasi muda yang melawat pusat membeli-belah agar mengenali dengan lebih dekat keunikan sambutan Tahun Baharu Cina.

“AEON membuktikan bahawa para peruncit bukan sahaja bertanggungjawab dalam menyediakan barangan keperluan asas kehidupan seharian tetapi juga boleh menjadi lebih kreatif.

“Mereka boleh dan mampu memainkan peranan dalam membantu menggerakkan aktiviti pelancongan domestik melalui program promosi seperti ini,” ujarnya semasa berucap pada Majlis Promosi Tahun Baru Cina di AEON Midtown Falim, di sini.

Hadir sama ialah Pengurus Kanan, AEON Midtown Falim Bahagian Projek, Tan Yee Lean dan Pengerusi KRT Taman Rasi Jaya, Lee Kam Wah.

Dalam ucapannya kata Nolee, sejak berlakunya pandemik Covid-19, semua perayaan disambut dengan lebih berhati-hati dalam mematuhi norma baharu dan SOP yang diperkenalkan untuk kesejahteraan semua.

Namun begitu ujarnya, sebagai rakyat Malaysia yang sentiasa cekal dan tenang dalam menghadapi apa jua keadaan, ianya tidak menghalang kita daripada menyambut majlis-majlis perayaan, secara sederhana namun tetap meriah.

“Samada secara maya atau fizikal, kita masih boleh berhubung demi merapatkan silaturahim dengan keluarga dan sahabat handai.

“Justeru, inisiaitf seperti ini bukan sahaja dilihat daripad sudut perayaan tetapi peranan untuk memastikan industri peruncitan dan pelancongan terus berkembang dalam menjana ekonomi, di negeri Perak khasnya,” ujarnya.