IPOH - Merujuk pada paparan dalam laman media sosial Facebook tentang kenyataan 'Hutan Simpan Pun Boleh Dapat Lesen Untuk Ditarah' merupakan satu kenyataan lama yang pernah dimuat naik pada tahun 2019 dan diviralkan semula oleh netizen.

Berdasarkan rekod Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNK), kawasan tersebut merupakan Hutan Simpan Kledang Saiong yang diklasifikasikan sebagai hutan pengeluaran.

Pengarah Perhutanan Perak, Datuk Mohamed Zin Yusop berkata, satu kelulusan membalak seluas 80 hektar telah diberi oleh Pihak Berkuasa Negeri pada tahun 2018.

Menurut beliau, aktiviti pembalakan telah dijalankan melalui pengeluaran satu lesen pada tahun 2019 dan tamat pada 2020.

"Aktiviti pembalakan telah dijalankan mengikut prosedur dan peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak jabatan.

"Jabatan ini berpandangan pengadu telah keliru dengan istilah Hutan Simpan Kekal yang pada anggapan beliau aktiviti pembalakan tidak boleh dijalankan.

"Anggapan beliau adalah tidak tepat kerana hutan simpan kekal klasifikasi pengeluaran boleh dijalankan pembalakan mengikut prosedur dan syarat-syarat yang ditetapkan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menjelaskan lebih lanjut, Mohamed Zin berkata, di Perak terdapat seluas lebihkurang 987,000 hektar kawasan yang diwartakan sebagai hutan simpanan kekal di bawah Akta Perhutanan Negara 1984.

Jelasnya, hutan simpanan kekal ini telah diurus berasaskan kepada prinsip Pengurusan Hutan Secara Berkekalan.

"Bagi tujuan tersebut, hutan simpan kekal ini diklasifikasikan kepada Hutan Pengeluaran (51 peratus) dan Hutan Perlindungan (49 peratus).

"Hutan pengeluaran adalah bagi tujuan pengeluaran hasil-hasil hutan termasuk pengeluaran kayu secara berkekalan melalui aktiviti pembalakan.

"Manakaka Hutan Perlindungan pula adalah bagi tujuan pemeliharaan alam sekitar, bekalan air mentah, perlindungan hidupan liar dan lain-lain lagi," kata beliau.