IPOH: “Sambutan perayaan Thaipusam tahun ini hambar dan tidak semeriah seperti sebelum pandemik Covid-19, namun kita harus mengutamakan keselamatan semua,” keluh R. Kumar, 43, merupakan salah seorang pengunjung di Kuil Sri Subramaniar, Gunung Cheroh, semalam.

Menurutnya, prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan sepanjang sambutan perayaan kedua terbesar masyarakat Hindu ini, dilakukan dengan baik dan pengunjung berasa dalam keadaan selamat.

“Walaupun tidak semeriah dahulu, namun bagi saya sudah cukup untuk hadir bersembahyang dan meraikan Thaipusam secara sederhana bersama keluarga.

“Suasana negara masih dalam ancaman COVID-19 ditambahi pula kemunculan varian Omicron ianya sangat membimbangkan. Saya berharap satu hari mengara kita bebas dari COVID-19 dan dapat hidup bebas seperti dahulu,”katanya.

Sementara itu, Presiden Ipoh Hindu Devasthana Paripalana Sabah, M Vivekananda, berkata, pihaknya akur dan menerima hakikat sambutan perayaan masih perlu disambut secara sederhana berikutan isu COVID-19 yang masih belum berakhir.

"Kita mengikut segala SOP yang disediakan oleh kerajaan membabitkan pengunjung perlu memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan.

“Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), perayaan ini dihadiri lebih 400,000 pengunjung dan kali ini perarakan chariot hanya disertai oleh 100 orang sahaja yang berdaftar.


"Suasana memang tidak meriah kerana tiada makanan diedarkan atau pembukaan banyak gerai. Kita memang berasa agak sedih sedikit kerana sudah dua tahun juga peniaga kecil tidak dapat membuka perniagaan di sekitar ketika sambutan.


"Kita berharap negara akan pulih daripada COVID-19 dan berpeluang membuat sambutan meriah seperti sebelum ini," katanya.

Tambah M Vivekananda, sambutan Thaipusam di lokasi utama perayaan di Kuil Sri Subramaniar Gunung Cheroh di sini berada dalam keadaan terkawal dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Kawasan dalam dan sekitar kuil juga dipantau oleh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan kehadiran kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan sanitasi.

“Kami memastikan proses sanitasi dilakukan setiap 30 minit sebanyak 12 sesi di kuil ini sepanjang perayaan berlangsung. Keselamatan dan keselesaan pengunjung sangat kami utamakan.” ujarnya.

Foto : Sumbangan Malay Mail.