KUALA LUMPUR - Satu ketetapan berhubung prosedur operasi standard (SOP) perjalanan umrah akan diputuskan dengan mengambil kira beberapa aspek bersama.

Perkara tersebut diumumkan dalam satu kenyataan media bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Kementerian Kesihatan (KKM) yang memberitahu ia akan dimuktamadkan pertengahan Februari ini.

Dua kementerian itu telah pun mengadakan sesi libat urus bersama Persatuan Agensi Pelancongan (UMRAH) bagi mendapatkan maklum balas berhubung keputusan penangguhan sementara yang sedang berkuat kuasa.

"Kerajaan amat prihatin dengan pelbagai cabaran yang dihadapi oleh pemain industri pelancongan negara.

"Sehubungan itu, kedua-dua kementerian berharap semua pemain industri dapat memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan aktiviti umrah dapat terus dilaksanakan dengan selamat," memetik kenyataan itu.

Sesi libat urus itu telah dikendalikan oleh Menteri MOTAC serta Menteri Kesihatan dan dihadiri oleh pengurusan tertinggi kedua-dua kementerian, wakil-wakil agensi persekutuan.

Antara dibangkitkan adalah SOP berkaitan pelaksanaan perjalanan umrah, isu bayaran balik dan penjadualan semula penerbangan.

Turut dibincangkan tentang perlindungan insurans, garis masa pembukaan semula perjalanan umrah dan bantuan pemulihan kepada industri pelancongan.

Kerajaan sebelum ini menangguhkan ibadah umrah buat sementara waktu berkuat kuasa 8 Januari  berikutan penularan jangkitan Omicron.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar ketika mengumumkan keputusan itu berkata larangan berkenaan akan kekal berkuat kuasa sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Penangguhan sementara aktiviti umrah ini dijangka dapat membantu mengurangkan risiko penularan Omicron dalam negara dan memperlahankan peningkatan kes Covid-19.