SUNGAI SIPUT - Perkhidmatan pengangkutan awam di negeri ini terus dipertingkatkan menerusi Program Bas Perak Sejahtera melibatkan kos sebanyak RM2.1 juta.

Buat permulaan, Sungai Siput menjadi lokasi pilihan manakala Taiping, Manjung dan Tapah akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, inisiatif tersebut bakal memberi kemudahan kepada kira-kira 15,000 penduduk dari Bawong hingga ke Karai.

"Perkhidmatan tersebut melibatkan dua laluan sejauh 20 kilometer iaitu Sungai Siput-Karai dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Siput-Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bawong.

“Terdapat 20 hentian meliputi institusi pendidikan, pusat komuniti, fasiliti kesihatan, pekan serta kampung dan penempatan Orang Asli," ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program Bas Perak Sejahtera Sungai Siput Tahun 2022 di Orang Asli One Stop Centre (OAOSC), Bawong pada Ahad lalu.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia (JAKOA), Zambri Mustajap dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Kangsar, Zulqarnain Mohamad.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang berkata, pengguna hanya dikenakan bayaran serendah RM1 bagi perjalanan sehala.

Katanya, jadual perjalanan pula akan bermula pada pukul 6.30 pagi sehingga 7.30 malam.

"Kerajaan negeri juga akan memperluaskan perkhidmatan Bas Perak Sejahtera ke beberapa kawasan lain seperti Kamunting dan Chenderiang.

"Kawasan-kawasan yang dipilih bagi perkhidmatan bas tersebut berdasarkan permintaan komuniti dan kajian yang dibuat oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) sebelum diluluskan," ujarnya.