IPOH - Bagi meninggalkan kenangan manis bersama keluarga semasa meraikan sambutan Tahun Baru Cina tahun ini, mengapa tidak memilih taman tema Lost World Of Tambun (LWOT) sebagai lokasi merakam keindahan tersebut.

Bermula 1 hingga 15 Februari, LWOT menawarkan aktiviti reunion atau makan besar dalam suasana mendamaikan tetapi eksklusif.

Pengurus Besar Lost World Of Tambun, Nurul Nuzairi Mohd Azahari berkata, dalam mengadakan aktiviti reunion ini, kebanyakan rakyat Malaysia mementingkan kawasan yang terbuka agar dapat bersama-sama ahli keluarga.

Sehubungan itu katanya, LWOT menawarkan kemudahan tersebut di kedua-dua Sunway Hotel dan LWOT.

"Dalam keadaan di mana kita berada pada situasi endemik, maka kita fokuskan pada aktiviti kecil di dalam taman tema agar tiada kawasan orang berkumpul terlalu ramai.

"Bagi majlis makan malam di pantai atau 'beach dinner', keadaannya pun sama di mana pengunjung akan dipecahkan dalam kumpulan mengikut keluarga agar tidak sesak," ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas majlis pelancaran Sambutan Reunion Tahun Baru Cina di LWOT di sini hari ini.

Pada majlis itu juga pihak LWOT telah memperkenalkan dua ekor harimau yang dipinjam dari Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungkai untuk dipamerkan di Tiger Valley.

Kehadiran dua ekor habitat liar ini yang diberi nama Dana dan Jewel memberi signifikan tersendiri memandangkan Tahun Baru Cina kali ini jatuh pada tahun harimau.

Kata Nurul Nuzairi lagi, pengunjung boleh memilih untuk mengadakan majlis jamuan makan besar atau Reunion secara barbeku di tepi pantai buatan di sini sambil melihat suasana senja.

"Tidak ketinggalan ialah persembahan tarian singa yang akan dipersembahkan kepada pengunjung dan tetamu selain edaran sampul angpau dan limau mandarin sebagai tanda kemakmuran," ujarnya.