IPOH - Satu keluarga yang menaiki kenderaan pelbagai guna MPV jenis Nissan Grand Livina berdepan detik cemas setelah terlibat kemalangan dengan sebuah treler di Jalan Simpang Pulai - Cameron Highlands berdekatan Sekolah Kebangsaan Pos Raya pagi tadi.

Mangsa terdiri daripada pasangan berusia 60 tahun bersama seorang kanak-kanak perempuan tiga tahun.

Jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 10.35 pagi.

Menurut jurucakap itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai telah dikejarkan ke lokasi kejadian bagi membantu.

"Dua mangsa yang cedera ringan merupakan lelaki dan wanita masing-masing berusia 60 tahun dengan salah seorangnya adalah pemandu MPV tersebut.

"Seorang lagi penumpang MPV iaitu seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun tidak mengalami sebarang kecederaan," ujar jurucakap tersebut.

Komander operasi kemudian mengarahkan kerja-kerja menyelamat dan mengeluarkan mangsa dilakukan menggunakan peralatan khas.

Kesemua mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Operasi yang diketuai PBK II Muhamad Norman tamat sepenuhnya pada pukul 11.40 pagi.