IPOH - "Terima kasih kerana membantu kami membantu pesakit memerlukan"

Ucapan itu sudah cukup menunjukkan penghargaan pihak Unit Tabung Darah Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) yang sangat memerlukan sumbangan orang ramai.

Setiap hari darah diperlukan untuk menyelamatkan nyawa, justeru sumbangan tersebut mungkin menyelamatkan nyawa.

Bertempat di Dewan Bankuet Carsem, Kampung Melayu Sungai Rapat di sini hari ini, Program Derma Darah 2022 anjuran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mendapat sambutan yang menggalakkan.

Lebih 80 penderma tampil untuk menyumbang darah pada program yang dijalankan bersama Unit Tabung Darah HPRB serta kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).

Ahli Majlis MBI Zon 21 Sungai Rapat, Ustaz Abu Bakar Hussian berkata, program berkenaan juga dianjurkan bersempena Sambutan Hari Darah Sedunia.

Menurutnya, penganjuran tersebut bertujuan membantu mengisi stok darah yang mungkin menghadapi masalah kerana pelbagai faktor termasuk kekurangan penderma.

"Alhamdulillah, sambutan yang diterima sangat menggalakkan. Mereka yang tampil menderma termasuklah petugas Tentera Udara Diraja Malaysia dan kakitangan Carsem selain penduduk setempat.

"Ini juga merupakan penganjuran derma darah kali ke-6 yang kita lakukan dan ia akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi membantu pihak HRPB," ujarnya.

Terdahulu, program berkenaan telah dirasmikan oleh Penghulu Besar Mukim Ulu Kinta, Dr. Mohd. Sani Kamaruddin.

Para penderma turut disediakan sarapan pagi berupa nasi lemak dan kuih sebagai mengalas perut sebelum mula menderma darah.

Dalam pada itu kata Ustaz Abu Bakar, lebih banyak program kemasyarakatan telah dirancang untuk dilaksanakan di Zon 21 Sungai Rapat yang memberi manfaat kepada penduduk

Katanya, program anjuran MBI itu bukan sahaja mengambil kira kepentingan masyarakat, malah secara tidak langsung dapat menjadi platform untuk mendekat lagi kerjasama antara pihak berkuasa tempatan itu dengan warna bandaraya .