Kampar - Majlis Daerah Kampar (MDK) memandang serius budaya pembuangan sampah haram yang menular di kalangan masyarakat tanpa menghiraukan kelestarian alam dan kesejahteraan masyarakat sekeliling.

Ahli Majlis MDK, Clr. Rafidi Mohd Razali berkata kesan daripada pembuangan sampah haram, akan menggalakkan pembiakan nyamuk Aedes yang mengakibatkan wabak demam denggi di Taman Sejahtera, Kampar seperti yang terjadi pada awal tahun ini. 

“Sikap suka membuang merata-rata tanpa menggunakan tong sampah satu budaya yang harus dihentikan. Sikap buruk ini bukan sahaja memberi kesan kepada kesihatan malah mewujudkan pandangan negetif di kalangan para pelancong. 

“Pembuangan botol plastik, polisterina dan plastik minuman menyumbang kepada pencemaran alam sekitar yang semakin meruncing akan menggalakkan habitat pembiakkan  nyamuk Aedes seterusnya membawa kepada penularan pelbagai penyakit berjangkit seperti Demam Denggi, Chikungunya dan Leptospirosis (Penyakit Kencing Tikus).

“Penganjuran Program Komuniti Bersih & Sihat (KOMBEST) ini, merupakan salah satu inisatif MPK yang melibatkan pelbagai lapisan komuniti dalam usaha melestarikan alam sekitar, memupuk disiplin dan membudayakan kebersihan bermula dari rumah”, katanya dalam ucapan perasmian KOMBEST mewakli Yang Dipertua MDK, Abdul Halim Saad di perkarangan Surau Taman Sejahtera, Mambang Diawan, Kampar, baru-baru ini. 

Kombest merupakan Program Local Agenda (LA21) yang melibatkan tiga teras utama iaitu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) MD Kampar, Komuniti Kawasan Rukun Tetangga B (KRTB), agensi kerajaan/swasta dan NGO.

Selain aktiviti gotong-royong perdana, pertandingan explorace denggi, pertandingan mewarna, demonstrasi penghasilan baja kompos, program tukar barang kitar semula & minyak masak terpakai, pameran kesihatan, pemeriksaan kesihatan percuma dan cabutan bertuah.