TAIPING - Nilai integriti perlu dizahirkan dalam semua tindakan dan amalan sama ada melalui penampilan, sikap dan semasa membuat sesuatu keputusan.

Sehubungan itu, usaha mencegah perbuatan tersebut dan mesti bermula dari keikhlasan diri untuk menolak rasuah.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Khairul Amir Mohamad Zubir berkata, tugas yang digalas perlulah dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab, jujur, cekap dan berintegriti.

Menurut beliau, sehubungan itu pelaksanaan Majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bertujuan meningkatkan kesedaran dan menerapkan nilai integriti kepada kita semua.

"Majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah pada hari ini adalah bagi menyahut seruan SPRM dalam usaha mencegah rasuah.

"Ikrar ini juga membuktikan komitmen jitu MPT untuk menggalakkan nilai-nilai integriti dan tadbir urus yang baik ke arah merealisasikan misi dan visi MPT," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Korporat dan Majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah di Dewan MPT di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengarah Operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak, Rosley Mohamad Satar dan Setiausaha Perbandaran MPT, Kamaruzzaman Kamari.

Majlis menandatangani IBR uni merupakan kali keempat ianya diadakan di MPT.

Kali pertama pada 15 Ogos 2017 melibatkan semua Ahli-ahli Majlis, Ketua-Ketua Jabatan dan Ketua-ketua Bahagian serta semua wargakerja MPT.

Manakala kali kedua pada 28 September 2018 dan kali ketiga pada 1 Julai 2020

Jelas Khairul Amir, diharapkan ikrar ini akan menyemarakkan lagi budaya berintegriti dan kecemerlangan di kalangan kita semua.

Katanya, ikrar ini juga adalah sebahagian daripada usaha berterusan MPT untuk memupuk nilai-nilai murni dalam menjadikan MPT sebagai sebuah organisasi berprestasi tinggi, cekap, amanah dan berintegriti.

"Saya juga berharap agar lafaz ikrar yang dibacakan bukan hanya sekadar di mulut tetapi harus terus disemat di sanubari supaya kita dapat menghindarkan diri dari rasuah.

"Selain itu, saya juga ingin mengingatkan diri saya dan semua yang hadir pada hari ini agar sentiasa berhati-hati dalam menjalankan tugas supaya tidak terlibat dalam apa jua bentuk perlakuan rasuah dan salah guna kuasa," ujarnya.