IPOH: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Perak mengecam tindakan penarikan harga siling ayam,telur dan subsidi minyak masak ketika tiada langsung langkah kontingensi diambil oleh kerajaan.

Pengerusinya, Mutalib Uthman berkata kerajaan dilihat gagal membentangkan pelan perancangan dalam menangani kenaikan harga barangan asas ketika harga siling bagi barangan itu ditarik balik.

"1 julai akan menjadi detik kesengsaraan buat masyarakat seluruh negara apabila kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memutuskan untuk memansuhkan harga siling ayam,telur dan subsidi minyak masak.

"Ini adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab apabila pemansuhan harga siling dan subsidi ini dibuat ketika krisis kekurangan makanan berlaku.

"Rakyat setiap hari bergelut dalam membangunkan ekonomi keluarga pasca COVID-19, namun sikap ketidakpedulian kerajaan sudah pasti lebih menekan dan membebankan rakyat," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Ujarnya lagi, jemaah menteri pastu mengetahui kesan kenaikan harga bahan asas ini, yang sekali gus menyebabkan peniaga terpaksa menaikkan harga jualan makanan mereka.

"Bagaimanakah persiapan kerajaan dalam memastikan tiada kenaikan harga di pasaran?

"Jika berlaku kenaikan, apakah usaha kerajan bagi memastikan kenaikan tersebut tidak membebankan rakyat khususnya yang kurang berkemampuan?," soalnya.

Justeru katanya, Muda Perak sekali lagi mendesak untuk kerajaan membentangkan pelan kontingensi sebelum pelaksanaan penarikan harga siling barangan itu 1 Julai ini.

Semalam media melaporkan, KPDNHEP memutuskan harga kawalan siling ayam, telur ayam dan subsidi minyak masak tulen bagi pek kemasan botol tidak akan diteruskan mulai 1 Julai.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dipetik berkata, harga barangan itu dijangka meningkat dan akan ditentukan oleh pasaran.

Beliau berkata, tindakan itu dibuat bagi memastikan bekalan bahan makanan dan harga dalam pasaran akan lebih stabil dalam tempoh jangka panjang.