IPOH: Perkhidmatan penerbangan dari Subang ke Pulau Pangkor tidak menerima sambutan yang menggalakkan susulan orang ramai cenderung memilih laluan darat berbanding udara.

Difahamkan ia berikutan jarak perjalanan dan tempoh masa kedua-dua lokasi itu yang dekat serta singkat.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata setakat ini syarikat yang terbabit iaitu SKS Airways Sdn Bhd (SKS Airways) terpaksa menangguhkan operasi ke laluan itu buat sementara waktu.

"Bukan sebab tidak ada pelancong yang datang ke Pangkor (tangguh penerbangan) tetapi kebanyakan daripada mereka memilih menggunakan jalan darat untuk ke Pulau Pangkor.

"Rasanya jarak perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pangkor itu agak dekat, jadi orang mungkin lebih suka guna lebuh raya.

"Penerbangan itu ditangguhkan pada 29 Mei lalu, ia lebih kepada keputusan syarikat tersebut.

"Kerajaan negeri turut rasa dukacita apabila keadaan ini berlaku. Tapi itu merupakan keputusan mereka untuk tangguhkan, dan sambung semula mungkin ketika musim kemuncak,"katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri program townhall discussion 'Ke Arah Pelancongan Selamat Negeri Perak' serta pelancaran Unit Pelancong Perak yang disempurnakan oleh Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid, di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Nolee berkata meskipun penerbangan itu kurang mendapat sambutan, namun kehadiran pengunjung ke pulau peranginan itu tetap mencatatkan jumlah yang memberangsangkan.

"Daripada bilangan pelancong yang datang ke Pangkor tak kurang, malahan lebih lagi ketika ini,"katanya.

Pada Selasa media melaporkan, syarikat penerbangan yang menawarkan perkhidmatan penerbangan membawa pelancong dari Subang ke Pulau Pangkor, SKS Airways digesa mempergiat promosi untuk membawa pelancong ke pulau itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ia bagi mengatasi masalah kekurangan pelancong yang datang ke pulau itu melalui udara, menyebabkan operasi penerbangan syarikat itu ke Pangkor ditangguhkan.

Pemeriksaan di laman web rasmi dan Facebook syarikat tersebut mendapati penerbangan ke Pulau Pangkor tidak lagi ditawarkan sebaliknya hanya menawarkan penerbangan ke Pulau Tioman, Pahang dan Pulau Redang, Terengganu.

Untuk makluman penerbangan bagi laluan itu baru sahaja dilancarkan pada 25 Januari lalu.