IPOH: Kerja-kerja pemasangan dan pembinaan bumbung di bazar Gerbang Malam di Jalan Tahwil Azar di sini dijangka siap pada tahun ini juga.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, kerja-kerja pemasangan yang sepatutnya siap pada Mac lalu mengalami kelewatan berikutan pandemik COVID-19.

"Projek itu sebenarnya sudah siap 60 peratus, ia (kerja-kerja) tidak nampak sebab sebenarnya peringkat pemasangan itu yang lambat.

"Saya difahamkan, mereka menghadapi masalah semasa pandemik kerana apa ditempah daripada pembekal itu agak lambat," katanya.

Nolee Ashilin berkata demikian selepas hadir sesi Townhall Semarak Pelancongan Ke Arah Pelancongan Selamat Negeri Perak dan Pelancaran Unit Polis Pelancong Perak yang disempurnakan oleh Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid di Hotel Excelsior di sini pada Khamis.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa.

Jelasnya, kelewatan bahan daripada pembekal itu mengakibatkan proses pemasangan agak lambat.

"Apa yang sudah selesai ketika ini adalah tempahan bekalan untuk pemasangan dari segi struktur asas.

"Bumbung itu perlu diubahsuai, jadi proses pemasangan memang mengakibatkan kelewatan," katanya.

Terdahulu, tular di media sosial segelintir peniaga di Gerbang Malam yang meluahkan rasa kesal dan kecewa berikutan gerai jualan mereka sering dipukul ribut ketika hujan lebat.

Mereka mendakwa belum mendapat kemudahan bumbung seperti mana yang dijanjikan sebelum ini.

Sebelum ini media melaporkan, Gerbang Malam bakal berubah wajah dan dijangka akan menjadi tarikan pelancong apabila struktur teduhan (bumbung) sepanjang 180 meter yang bernilai RM2.8 juta dijadualkan siap awal tahun ini.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata, kerajaan negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM2.6 juta untuk pembinaan bumbung itu manakala baki RM200,000 adalah daripada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).