IPOH - Kehadiran lebih 2,000 hadirin termasuk ibu bapa bersama ahli keluarga memeriahkan lagi Kejohanan Olahraga Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Perempuan (SMK RPS) kali ke-70 pagi tadi.

Padang SMK RPS berubah wajah apabila hiasan warna-warni khemah mengikut warna tema rumah sukan menceriakan lagi temasya tersebut.

Sambutan temasya ini diserikan lagi dengan kehadiran, Menteri Belia dan Sukan, Dato' Seri Ahmad Faizal Dato' Azumu selaku tetamu rasmi sekali gus hadir merasmikan kejohanan.

Turut hadir Pengerusi Pertubuhan Rakan Komuniti Pendidikan Perak, Datuk Normah Hanum Dato' Ibrahim.

Terdahulu ketibaan tetamu rasmi ini disambut Pengetua SMK RPS, Wiza Rozahrin; Yang Dipertua PIBG SMK RPS, Syahrizal Azmi dan Ahli Majlis Bandaraya Ipoh, Clr. Richard Ng.

Temasya sukan ini bermula sekitar pukul 8.30 pagi dengan perarakan masuk bendera-bendera negeri dan rumah sukan oleh pasukan Kor Kadet Polis.

Ia diikuti perarakan masuk rumah-rumah sukan dan bendera kejohanan serta melafaz ikrar.

Menariknya, setiap rumah sukan menampilkan maskot selain pembawa papan nama pasukan yang berpakaian cantik.

Sementara itu dalam ucapannya semasa merasmikan temasya tersebut, Ahmad Faizal memuji kesungguhan murid-murid khususnya pengurusan sekolah menganjurkan kejohanan.

Katanya, penganjuran temasya olahraga itu bukan sahaja dapat menggilap potensi murid-murid tetapi juga membudayakan kegiatan sukan.

"Saya ucapkan syabas pada pihak sekolah kerana dapat menganjurkan acara temasya ini yang sangat hebat.

"Ini juga menunjukkan kegiatan sukan sama pentingnya selain akademik, malah melalui kegiatan sukan juga dapat melahirkan pelajar yang aktif dan cerdas," ujarnya.