MANJUNG - Seramai 160 ahli Persatuan Kebajikan Veteran Batalion Ke-17 Rejimen Askar Melayu Diraja (17 RAMD Para) menziarahi pusara Allahyarham Mejar Zainal Abdul Rashid SP di Tanah Perkuburan Islam Pantai Remis dekat sini.

Wira negara itu yang terkorban semasa bertempur dengan pengganas komunis dalam operasi di Gubir pada tahun 1976 merupakan anak kelahiran Pantai Remis.

Menerusi perkongsian dalam laman Facebook Berita Tentera Darat Malaysia oleh Kapt Ahmad Jeffry Ahmad Tarmizi, program ziarah tersebut diadakan sempena sambutan hari ulangtahun pasukan.

"Bersempena Hari Ulang Tahun (HUT) pasukan yang bakal disambut pada 1 Ogos 2022 program ziarah ini bagi memperingati sumbangan pengorbanan Allahyarham terhadap negara.

"Acara diakhiri dengan majlis tahlil sejajar dengan Tonggak Ketiga Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-28 iaitu Pelestarian Kesejahteraan Warga," ujarnya dalam hantaran itu.

Turut hadir Pengerusi Persatuan Kebajikan Veteran 17 RAMD (Para); Yang diPertua Persatuan Veteran Negeri Perak dan Pegawai Memerintah 17 RAMD (Para).

Allahyarham Mejar Zainal telah dianugerahkan pingat keberanian tertinggi negara, Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) ketika bertempur dengan sepasukan komunis sewaktu melaksanakan Op Gubir pada 15 Jul 1976.

Dalam pertempuran tersebut, beliau berjaya membunuh beberapa orang pengganas komunis namun akhirnya gugur sebagai bunga bangsa akibat daripada letupan grenad musuh.