IPOH: Perak melancarkan sistem lampu isyarat pintar (STARS) pertama di negeri ini, yang dilengkapi keupayaan kecerdasan buatan (AI) di bandar raya Ipoh.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Multimedia negeri, Khairul Shahril Mohamed berkata, buat permulaan teknologi itu ditempatkan di empat lokasi di Ipoh, sebelum diperluas ke daerah lain.

Beliau berkata, STARS direalisasikan menerusi jalinan kerjasama dan Perjanjian Langganan Perkhidmatan antara Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Telekom Malaysia Berhad (TM)

"Pada peringkat permulaan STARS ditempatkan di empat lokasi sejak November tahun lalu.

"MBI bersama dengan TM melaksanakan tempoh percubaan bagi STARS di empat persimpangan sepanjang Jalan Sultan Idris Shah di sini.

"Bagi peringkat awal sebanyak empat persimpangan dipasang dengan sistem lampu isyarat pintar berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir merasmikan Ipoh Integrated Operation Centre (IIOC) & 5G di Pusat Tranformasi Bandar (UTC) Perak di sini pada Selasa.

Hadir sama, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin dan Naib Presiden Jualan mewakili TM One, Mohamed Faisal Naina Mohamed.

Menurutnya lagi, empat lokasi berkenaan adalah di persimpangan Jalan Sultan Idris Shah dan Jalan Laksamana; persimpangan Jalan Sultan Idris Shah dan Jalan Datuk Onn Jaafar; persimpangan Jalan Sultan Idris Shah dan Jalan Raja Musa Aziz; dan persimpangan Jalan Sultan Idris Shah dan Jalan Raja Ekram.

Ujarnya lagi, pemasangan STARS secara tidak langsung memberi kesan besar mengurangkan kadar pengeluaran karbon sebanyak 7,500 kilogram (kg) sebulan.

Sementara itu, Rumaizi berkata, STARS dilengkapi keupayaan AI, kamera AI berdefinisi tinggi dan analitik video membolehkan analisa trafik secara pintar untuk kelancaran trafik yang optimum.

"Ia akan membantu melancarkan aliran trafik sehingga 51 peratus terutama pada waktu puncak, yang mana membantu menjimatkan masa dan kos bagi pengguna jalan raya.

"Pelaksanaan itu selaras dengan hasrat MBI menjadikan Ipoh sebuah bandar raya rendah karbon menjelang 2030," katanya.

Difahamkan, STARS sudah dilaksanakan di beberapa negeri seperti Pulau Pinang, Johor dan Selangor.