PASIR SALAK - Disebalik kegusaran orang ramai tentang kenaikan harga minyak masak, namun peluang untuk membeli barangan dapur terpenting ini pada harga murah masih ada.

Warga Perak khususnya sekitar Perak Tengah dan kawasan terdekat jangan lepaskan peluang berkunjung ke Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Litar Dato' Sagor, Kampung Gajah di sini.

Ini kerana minyak masak peket boleh dibeli pada harga hanya RM2.20 dengan jumlah maksimum sehingga lima peket setiap seorang di gerai jualan Koperasi Felcra Seberang Perak.

Semuanya bertujuan membolehkan Keluarga Malaysia negeri Perak berbelanja pada harga berpatutan sepanjang program tiga hari itu yang bermula hari ini hingga Ahad.

Pengurus jualan Koperasi Felcra Seberang Perak, Mohamad Zul Arif Zainol, berkata, orang ramai juga tidak perlu bimbang kerana bekalan minyak masak peket yang dijual mencukupi.

"Kita membekalkan lima tan minyak masak peket sehari untuk jualan selama tiga hari, jadi pastikan datang ke sini untuk mendapatkan minyak masak.

"Kita juga mengadakan promosi iaitu pembeli yang membeli barangan melebihi RM30 akan menerima sepeket tepung gandum percuma," ujarnya.

Harga barangan lain pula seperti beras Faiza 10kg pada harga RM22, beras cap Rambutan import (RM24), sardin King Cup (RM7.80) dan
susu pekat (RM2.50).

Sementara itu, tinjauan Peraktastic mendapati orang ramai tidak melepaskan peluang membeli minyak masak dengan purata setiap orang membeli lima peket pada harga RM12 sahaja.

Seorang pengunjung, Nor Liza Hanim berkata, dia mengetahui tentang jualan itu menerusi rakan yang telah berkunjung terlebih dahulu.

"Sebagai suri rumah memang saya tunggu-tunggu jualan istimewa seperti ini tambahan pula minyak masak peket khusus untuk pengguna domestik.

"Sepatutnya golongan bukan domestik seperti peniaga makanan janganlah membeli minyak masak ini kerana mereka mengaut keuntungan menerusi jualan," ujarnya.


habis