IPOH- Kesan daripada pandemik Covid-19 di negeri Perak, dilaporkan seramai 2,206 orang telah kehilangan pekerjaan. Daripada jumlah itu, lebih kurang 500 orang melibatkan sektor perhotelan dan pelancongan.

Menyedari hakikat itu, Kerajaan Negeri Perak menerusi Sekretariat Jawatankuasa TVET Negeri Perak dan Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) kini melaksanakan Program Latihan Hospitaliti Negeri Perak.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan Dan Pelancongan Negeri Perak, Dato’ Nolee Ashilin Dato’ Mohammed Radzi berkata program itu melibatkan kerjasama Malaysian Association Of Hotel Perak Chapter (MAH) dan Shen Jai TVET College.

“Ini adalah salah satu inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Perak bagi membantu industri perhotelan untuk menampung kekurangan tenaga kerja.

“Fasa pertama program ini akan menumpukan dua kursus iaitu Kursus Housekeeping dan Pembantu Chef yang masing-masing melibatkan seramai 20 orang peserta. Latihan itu berteraskan konsep "On The Job Training" (OJT) bersama hotel yang terlibat. Para peserta turut ditawarkan pekerjaan selepas berakhirnya program tersebut.

“Hotel yang terlibat ialah MU Hotel, Simphony Suite dan 969 Business Suite Hotel. Tempoh khusus berjalan selama lapan hari dan tempoh latihan OJT berlangsung selama enam bulan”, katanya dalam sidang media sempena Program Latihan Hospitaliti Negeri Perak di Shen Jai TVET College di sini, Khamis lalu.

Pendaftaran dilakukan secara dalam talian di laman sesawang PASAK pada minggu hadapan selama seminggu. Pemilihan akan dibuat oleh pihak hotel melalui temuduga. Latihan akan dilaksanakan oleh syarikat penyedia latihan iaitu Shen Jai TVET College dengan kerjasama MAH.

Nolee menambah, program terbuka kepada golongan pekerja yang terjejas seperti graduan, penganggur dan lepasan SPM.

“Program latihan ini sangat baik dan bertepatan dengan kehendak industri masa kini. Pada masa yang sama ia dapat memberikan peluang kepada rakyat memperolehi pelbagai kemahiran yang boleh dijadikan sebagai kerjaya”, katanya.