IPOH - Ketua Polis Balai Sentral, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Ipoh, Asisten Superintendan Mohamad Sahran Dato' Hj Termizi diumumkan johan qari pada Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Akhir Kontinjen Perak 2022 pada Jumaat lepas.

Inspektor Nurul Shafinaz Halim dari IPD Kerian pula muncul johan qariah pada majlis tersebut yang bertempat di Dewan 1, Briged Utara Pasukan Gerakan Am Ulu Kinta.

Terdahulu, majlis telah dirasmikan oleh Ketua Polis Perak, Dato' Pahlawan Mior Faridalathrash Wahid dan turut dihadiri Pengerusi Perkep Kontinjen Perak, Datin Nur Qhadijah Abdul Wahab.

Objektif majlis ini adalah untuk memertabatkan al-Quran dalam kalangan warga polis Perak serta mencari qari dan qariah baru untuk diketengahkan.

Seramai lapan peserta telah mempedengarkan bacaan al-Quran masing-masing yang terdiri daripada enam qari dan dua qariah.

Manakala empat orang juri jemputan telah dipertanggungjawabkan untuk menilai bacaan para peserta.

Terdahulu, para tetamu telah diperdengarkan dengan bacaan ayat suci al-Quran oleh Qari jemputan iaitu Ustaz Mohd Radzi Kamarul Hailan, mantan Johan Qari Kebangsaan dan Antarabangsa.

Turut diadakan persembahan nasyid oleh Kumpulan Sahmurah daripada Sekolah Rendah Agama Tarbiah Islamiah (SRATI), Ipoh.