IPOH - Isu pengurusan kawasan geotapak Tasik Cermin di Gunung Rapat di sini dikatakan berhadapan masalah ekoran penggulungan syarikat konsesinya, Mansion Machinery Sdn. Bhd. (Mansion Machinery).

Mansion Machinery telah melalui penggulungan pada 21 Julai 2021 tetapi hanya dimaklumkan pada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) pada Mac lalu.

Susulan situasi tersebut, pihak MBI telah mengeluarkan surat pemberhentian operasi kepada Mansion Machinery pada 21 April lalu
dan tidak dibenar menguruskan Tasik Cermin.

Pengarah Pembangunan Tasik Cermin Tourism Sdn. Bhd., Siti Norlizawati Narawi berkata, ketika ini pihaknya selaku pengendali masih beroperasi seperti biasa di lokasi geotapak itu.

Menurut beliau, bagaimana pun situasi semasa menyebabkan segala perancangan yang telah diatur bagi memajukan lokasi tersebut terbantut dan ini dibimbangi merencatkan usaha membangunkan Tasik Cermin.

"Banyak pihak beranggapan kami (Tasik Cermin Tourism Sdn. Bhd) yang mengalami penggulungan tapi sebenarnya bukan.

"Pihak saya hanyalah penasihat yang dilantik oleh Mansion Machinery semasa sama-sama memohon memajukan Tasek Cermin dan diberi
tanggungjawab sebagai operator," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bagi penjelasan kedudukan dan keadaan sebenar berlaku di dalam Tasik Cermin Ipoh ketika ini.

Jelas Siti Norlizawati, Tasik Cermin Tourism Sdn. Bhd. pula dilantik sebagai operator interim bagi mengendalikan kawasan geotapak itu, tetapi kemampuan untuk membangunkan lokasi itu terhad.

Sehubungan itu kata Siti Norlizawati, isu yang timbul tentang pengurusan Tasik Cermin boleh diselesaikan menerusi perbincangan melibatkan semua pihak berkepentingan demi kemajuan pelancongan negeri.

Beliau berharap kerajaan negeri Perak, MBI dan Majuperak Holdings Bhd. sebagai konsesi kedua dapat memuktamadkan satu keputusan positif.

"Apa jua keputusan dalam perbincangan tersebut, saya cuma berharap supaya kedudukan kami sebagai operator dikekalkan.

"Ini kerana kami terlibat dalam proses pembukaan lokasi ini sejak mula, malah memiliki tenaga kerja mahir dalam bidang eko pelancongan yang terdiri daripada anak-anak tempatan termasuk Orang Asli," ujarnya.

Kawasan geotapak Tasik Cermin dibuka secara rasmi kepada umum Januari lalu dan menjadi taman eko kuari pertama seumpamanya dalam negara.

MBI melantik Syarikat Tasik Cermin Tourism Sdn Bhd untuk membangunkan Tasik Cermin Eco Park Ipoh yang seluas 26 hektar itu.

Tasik Cermin merupakan kawasan bekas kuari yang sudah lama dan tidak lagi beroperasi yang mempunyai dua tasik dan dua terowong yang unik.