IPOH: Isu kenaikan harga tambang tiket feri ke Pulau Pangkor sudah dibawa ke peringkat Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) untuk dibincangkan secara tuntas.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, beliau peka dengan kegusaran yang sedang dihadapi oleh ramai pihak termasuk pemain industri pelancongan ketika ini berhubung isu tersebut.

"Kenaikan harga itu (feri) kerana caj bahan api meningkat, jadi kita kira ini adalah di luar kawalan kita.

"Tetapi perkara ini lebih kepada desakan harga pasaran dan permintaan (naikkan harga) itu berasaskan perkara tersebut.

"Bagaimanapun kita akur ini menjadi satu kegusaran bagi penggiat industri khususnya, yang mengharap pengunjung ramai menaiki feri dan merasakan itu tinggi (harga).

"Kita telah pun membawa isu ini ke MMK di bawah portfolio Exco Datuk Mohd Zolkafly Harun. Jadi mungkin kita akan kongsikan kemudian apa langkah dan tindakan yang boleh dibuat selepas ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media khas Apresiasi Seni, Budaya dan Warisan Negeri Perak di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perak di sini pada Rabu.

Hadir sama, Ketua Pengarah JKKN, Mesran Mohd Yusop, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin dan Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Tourism Perak Management Berhad, Datuk Mohamad Kamil Shafie.

Mengulas lanjut mengenai kenaikan harga tambang itu, Nolee Ashilin menjelaskan kenaikan harga itu kerana caj bahan api meningkat, di samping ia adalah di luar kawalan dari pihak kerajaan negeri.

"Tetapi saya difahamkan beberapa siri perjumpaan sudah diadakan sebelum ini, sebelum mereka menaikkan harga tiket, peringkat Kementerian yang memberi kebenaran (naik harga tambang) kepada mereka... bukan kerajaan negeri," katanya lagi.

Ditanya sama ada kenaikan itu sedikit sebanyak merencatkan kedatangan pengunjung ke pulau peranginan itu, Nolee Ashilin berkata kesannya masih dalam peringkat pemantauan.

"Setakat ini belum mendapat maklumat akan menjejaskan, kerana sekarang sedang di luar musim kemuncak.

"Cuti hari raya Aidiladha nanti kita boleh melihat sama ada ia sebenarnya akan membawa kesan yang mudarat kepada pelancongan di Pangkor atau tidak," katanya lagi.

Isnin lalu media melaporkan, tambang bagi perjalanan dua hala ke Pulau Pangkor kini meningkat kepada RM20 berbanding RM14 sebelum ini bagi dewasa manakala kanak-kanak pula RM11 mulai 1 Julai lalu.

Kenaikan harga tambang itu diakui oleh Operator Feri Jeti Lumut, Rositah Abdul Razak yang menjelaskan perkara itu tidak dapat dielakkan kerana peningkatan kos operasi mereka.

Menurutnya, bahan api, penyelenggaraan dan penetapan gaji minimum sebanyak RM1,500 oleh kerajaan antara punca menyebabkan perkhidmatan pengangkutan tersebut meningkatkan kos operasi.