IPOH - Program pemantapan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar telah dijalankan di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Methodist, Buntong di sini baru-baru ini.

Ia merupakan inisiatif Ahli Exco MIC negeri Perak, Dato' R.Thangarajah dan Ahli Majlis Bandaraya Ipoh, Kaunselor MS Jayaganesh.

Menurut Jayaganesh, program tersebut melibatkan seramai 25 murid-murid tahun 6 bagi memperkasakan lagi kemahiran dalam penguasaan bahasa tersebut.

Katanya, ia melibatkan bantuan persekolahan seperti pakaian seragam sekolah, beg dan alat tulis serta sumbangan kewangan bagi makan minum murid-murid dan bayaran guru.

"Objektif program ini adalah untuk meningkatkan prestasi akademik murid-murid tahun enam supaya mereka lebih bersedia apabila melangkah ke tingkatan satu.

"Menerusi kelas bimbingan ini juga bagi meningkatkan penguasaan selain menggalakkan dan menanam keyakinan berkomunikasi murid dalam kedua-dua bahasa," ujarnya.

Jelas Jayaganesh, agenda pendidikan dalam kalangan murid-murid dalam aliran SJKT sentiasa menjadi antara keutamaan beliau khususnya MIC negeri Perak.