IPOH: Pertubuhan Keselamatan Perkhidmatan Sosial (Perkeso) Perak telah membiayai RM25.9 juta bagi pembayaran pelbagai faedah untuk tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

Ketua Cawangan Pencegahan, Perubatan dan Pemulihan Perkeso Perak Adibah Mohamed Amin berkata kes paling tinggi direkodkan membabitkan kes hilang upaya sementara.

Katanya lagi, pembayaran pelbagai faedah yang disediakan di bawah pertubuhan itu membabitkan 15,778 kes.

"Sebanyak RM11.5 juta diperuntukkan untuk membiayai faedah hilang upaya sementara iaitu 12,309 kes manakala RM9.57 juta pula untuk faedah hilang upaya kekal melibatkan 596 kes.

"Bagi pencen Ilat, Perkeso Perak telah memperuntuk sebanyak RM1.35 juta untuk 485 kes manakala pencen Penakat pula sebanyak RM1.01 juta diperuntukkan bagi 553 kes.

Adibah berkata, Perkeso turut membiayai pencen faedah orang tanggungan sebanyak RM208,564 membabitkan 74 kes dan faedah pengurusan mayat sejumlah RM2 juta kepada 1,126 kes.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan bantuan alatan pemulihan Program Skuad Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Prihatin 2022 kepada Hasliza Abdul Karim di Persiaran Klebang Selatan, di sini pada Khamis.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Saidi Mohamad Daud hadir bagi menyampaikan bantuan berkenaan dan menziarah penerima.

Sementara itu, seorang penerima pencen Ilat, Hasliza Abdul Karim, 54, dari Persiaran Klebang Selatan, Taman Bertuah ketika ditemui berkata, bantuan itu sedikit sebanyak meringankan beban mereka sekeluarga.

Hasliza menghidap penyakit darah tinggi, kencing manis dan jantung, selain itu beliau turut kehilangan kaki kiri hingga paras betis.

"Saya menerima pencen Ilat sebanyak RM904.85 sebulan sejak Mei lalu.

"Saya berhenti kerja sebagai operator di sebuah kilang di Ipoh kerana sudah tidak mampu bekerja dan kesihatan tidak mengizinkan," katanya.

Dalam kunjungan Perkeso Perak hari ini, Hasliza turut menerima bantuan kerusi roda bagi memudahkan pergerakan hariannya.

Perkeso Perak juga menyampaikan bantuan kepada penerima lain Nora'ini Abu Yamin di Taman Chandan Desa, di sini.

Beliau menerima kerusi roda dan layak menerima pencen Ilat minimum sebanyak RM475 sebulan seumur hidup.