KAMPONG GAJAH - Kegigihan seorang pesara tentera menjalankan ternakan ikan sangkar di Pulau Tiga di sini boleh dijadikan contoh apabila usaha tersebut mendapat pengiktirafan pelbagai pihak.

Beliau yang melihat potensi ternakan ikan sangkar mengambil keputusan meneroka bidang tersebut secara perlahan-lahan sehinggalah apa yang ada hari ini.

Zakaria Mohd. Ji, 53, yang juga anak jati Kampung Teluk Dendang Pulau Tiga mengusahakan ikan sangkar 10 tahun lalu untuk bergelar nelayan darat.

Lebih mesra dengan panggilan Pak Ya, pesara Gerup Gerak Khas (GGK) ini banyak menerapkan kemahiran pengurusan serta disiplin sepertimana dalam pasukan tentera dalam urusan harian di kolam.

Katanya, bermula dengan empat sangkar ikan, kini di lokasi tersebut mempunyai
56 petak sangkar ternakan ikan talapia merah dan patin yang diusahakan secara kolektif.

"Bersama penduduk kampung lain, kami menubuhkan Projek Kluster Ternakan Ikan Sangkar MyKP Pulau Tiga dengan seramai 19 ahli termasuk seorang wanita.

"Kumpulan ini terdiri daripada pelbagai peringkat usia termasuk seperti pesara, golongan belia dan juga kepada universiti yang menjadikan ternakan ikan sebagai punca pendapatan," ujarnya kepada Peraktastic.

Setiap petak sangkar ini mempunyai kira-kira 2,000 ekor ikan manakala kaedah tuaian hasil pula dilakukan mengikut tempoh matang ikan secara bergilir-gilir.

Melihat keadaan sangkar ikan yang diusahakan secara tersusun dan sistematik maka tidak hairanlah pesara komando ini dipilih sebagai Usahawan Terbaik Lelaki Pertubuhan Peladang Kampong Gajah 2021.

Menurut Zakaria, pasaran tinggi ternakan ikan sangkar menyebabkan mereka tidak dapat memenuhi permintaan bekalan.

Justeru, beliau sangat menyarankan pada golongan muda yang berminat untuk mengusahakan ternakan ikan sangkar agar menceburi usaha tersebut.

"Kami juga boleh membantu membimbing mereka yang berminat. Banyak kelebihan jika mengusahakan ternakan ikan sangkar ini secara berkumpulan kerana ada pelbagai bantuan dan sokongan daripada kerajaan.

"Apa jua bidang ada risiko, tetapi berdasarkan pengalaman yang ada insyaallah kita boleh menyusun perancangan secara berkesan," ujarnya.

Selain itu, Kluster Ternakan Ikan Sangkar MyKP Pulau Tiga kini menjadi salah satu tarikan pengunjung termasuk dari luar negara apabila berpeluang merasai pengalaman unik di kampung.

Ia dijalankan dengan secara muafakat termasuk menyediakan inap desa berhadapan Sungai Perak serta aktiviti menarik seperti menaiki bot menyusuri sungai, persembahan kebudayaan dan pengalaman menangkap ikan.

Untuk itu, Kluster Ternakan Ikan Sangkar MyKP Pulau Tiga telah dicadangkan untuk dimasukkan dalam peta pelancongan yang sedang diusahakan oleh Majlis Daerah Perak Tengah sekali gus menonjolkan lagi potensi daerah tersebut.