IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) terus memperkasakan aspek pengurusan sampah dalam kalangan warga bandaraya ini apabila melaksanakan pemberian tong sampah percuma.

Kali ini agihan melibatkan penduduk Zon 17.

Antaranya ialah disekitar Taman Desa Aman, Desa Pengkalan Indah, Taman Seri Megah dan Taman Berkat.

Ahli Majlis Zon 17 MBI, Kaunselor Nor Afzainizam Salleh berkata, sebanyak 1,500 tong sampah telah diagihkan dari rumah ke rumah oleh para petugas MBI bersama sukarelawan.

"Alhamdulilah, hari ini kita dapat menyempurnakan program agihan tong sampah percuma dalam membudayakan amalan pengunaan tong sampah dalam menuju Ipoh Bersih 2023 (MIB23) di Zon 17 MBI.

"Terima kasih kepada Datuk Bandar Ipoh, Dato' Rumaizi Baharin atas inisiatif program ini.

"Juga tidak lupa pada pihak yang bekerjasama JPP Zon 17, Jawatankuasa Surau Ar-Rahmaniah dan penduduk setempat dalam menjayakan program ini," ujarnya kepada Peraktastic.

Edaran tong sampah tersebut dapat memudahkan lagi penduduk mengumpul bahan buangan yang siap diikat di dalam beg plastik sebelum diambil petugas pembersihan.

"Adalah menjadi harapan MBI untuk memastikan penduduk dapat membudayakan penggunaan tong sampah dengan cara yang baik.

"Dengan adanya tong sampah beroda ini, ia dapat mengelak sampah diletakkan di hadapan rumah misalnya atau disangkut pada tiang pagar," ujar Nor Afzainizam.

Pada program sama juga sebanyak 200 Jalur Gemilang diedarkan kepada komuniti setempat dalam menyemarakkan semangat menyambut bulan kemerdekaan.