TAIPING: Banyak yang pertama di bandar warisan yang terkenal dengan keunikan pokok hujan-hujan ini.

Baik daripada Penjara Taiping sehingga kepada Muzium Perak yang memaparkan rekaan Moorish, dengan gabungan gaya neo classical dan victorian.

Pendek kata, imej bandar ini sudah tidak perlu diperkenal kepada umum kerana ia sudah 'mendunia', lebih-lebih lagi setelah dianugerahkan sebagai Bandar ke-3 Terbaik Dunia pada 2018.

Bertepatan dengan itu, Taiping dipilih sebagai lokasi penganjuran program Festival Komuniti Be T.O.U.R.I.S.T (BTCF 22), yang akan berlangsung pada 1 Oktober depan.

Tentunya banyak aktiviti menarik yang dihimpun sepanjang ia berlangsung hingga Disember nanti, termasuk jejak warisan bandar Taiping dan budaya komuniti setempat.

Selain itu, ikhtiar hidup di hutan, jelajah tasik dan sungai, jelajah kerohanian serta menyelami kehidupan dan pengalaman nelayan di sini.

Menurut Pengerusi Taman-Taman Zoologikal dan Akuaria Malaysia (MAZPA), Dr. Kevin Lazarus, objektif festival ini ialah bagi memperkukuh semula jejak warisan yang disediakan Majlis Perbandaran Taiping (MPT).

"Aktiviti yang disusun akan membabitkan penduduk dan komuniti setempat yang bertindak sebagai jurupandu, jurubahasa, pemandu pelancong dan pelbagai lagi.

"Program ini menyasarkan pelbagai lapisan masyarakat yang menjadi pelawat dan pengunjung dari dalam dan luar negara," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan prapelancaran festival itu di Galeri Perbandaran Taiping, Jalan Stesen, di sini pada Isnin.

Hadir sama, Penasihat BTCF 22, Hanim Ramly.

Program ini dianjurkan oleh H.O.P.E Foundation, Persatuan Pemandu Pelancong Wanita Malaysia dan Be Mind Tourist World Sdn. Bhd.

Ia turut mendapat kerjasama daripada rakan sinergi iaitu MPT dan Koperasi Keluarga Halimah-Hussin Berhad.

Tambahnya lagi, faedah yang akan dinikmati oleh penduduk setempat pasti meluas sehingga kepada sektor ekonomi peniaga.

"MPT banyak menganjurkan program berbentuk warisan yang mendatangkan pulangan kepada penduduknya.

"Bila pengunjung sertai festival ini, secara tidak langsung mereka akan berbelanja dan bermalam di sini, ramai yang akan kena tempias daripada sudut ekonomi," katanya lagi.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pemandu Pelancong Wanita Malaysia, Erina Loo berkata, pihaknya mahu mengetengahkan kegemilangan dan warisan Taiping, bukan hanya pada sejarah bangunannya.

"Ada di antara kita beranggapan ramai pelancong mahu tahu tentang sejarah sesuatu tempat, kadang kala mereka mahu tahu sisi lain yang menarik di situ.

"Kerana sejarah atau fakta mereka boleh cari dari sumber di internet dan pelbagai, tetapi apa yang mahu kita terapkan dalam program ini ialah penglibatan mereka dengan komuniti setempat," katanya.

Senarai dan jadual aktiviti yang berlangsung bermula 1 Oktober di bandar Taiping ialah (Malaysia Heritage Walk: Taiping Many First Blossomed.

2 Oktober di Taman Tasik Taiping (Malaysia Heritage Walk: Discover Our Best Green Destination Taiping.

Selain itu, 4 hingga 6 November di Kampung Anak Kurau, Batu Kurau (S.0.S Jungle), 3 Disember di Mukim Matang (Joss Stick of Yearning) dan terakhir pada 4 Disember di Kuala Sepetang (My Day as a Fisherman).